AM > BERITA

Allahyarham Koperal Mohd Azrul Diumum Tokoh Kemerdekaan Selangor 2024 

31/08/2024 12:02 AM

SHAH ALAM, 30 Ogos (Bernama) -- Anggota polis Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban dalam peristiwa berdarah di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2013 dipilih sebagai Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor 2024 atas sumbangan luar biasa dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari kepada ibu Allahyarham, Sadiah Mohd Amin pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam ini. 

Allahyarham yang berasal dari Klang merupakan seorang daripada enam anggota polis yang maut ketika diserang hendap sekumpulan pengganas semasa menyertai Op Daulat bagi memerangi pengganas Sulu pada 2 Mac 2013.

Kakak Allahyarham, Azlin Tukiran, 43, ketika ditemui Bernama berkata seluruh ahli keluarganya amat terharu serta bangga atas pengiktirafan berkenaan yang membuktikan pengorbanan adiknya dihargai oleh kerajaan negeri.

Pemberian anugerah itu katanya, terus membangkitkan lagi rasa rindu terhadap Mohd Azrul yang lebih mesra dipanggil Ayun oleh ahli keluarganya.

“Sebagai kakak, pastinya saya bangga mempunyai seorang adik yang sanggup berkorban demi negara, namun perasan sedih itu masih ada biarpun tragedi menyayat hati itu telah lama berlaku,” katanya.

Selain trofi, Allahyarham turut menerima wang tunai RM10,000 sebagai penghargaan oleh kerajaan negeri terhadap jasanya kepada negara.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya menyeru supaya rakyat Selangor menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" dengan membebaskan minda daripada kejumudan dan sentiasa memperkuat kesepaduan antara kaum demi memastikan kedaulatan negara kekal terjamin. 

Beliau berkata segala pencapaian negeri Selangor dan negara secara umumnya disumbangkan oleh rakyat yang bukan sahaja berjiwa bebas malah mampu menerima pembaharuan. 

"Jiwa Merdeka ialah mereka yang terbuka fikirannya, yang tahu mana salah dan silap, mana yang boleh disentuh dan tidak boleh disentuh, yang mengerti perihal Perlembagaan kita, raja kita, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan juga kerukunan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan