AM > BERITA

50 Bot Nelayan Berarak Kibar Jalur Gemilang Di Laut, Semarak Semangat Patriotik

31/08/2024 06:21 PM

GEORGE TOWN, 31 Ogos (Bernama) -- Bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2024, komuniti nelayan di Pulau Pinang buat julung kalinya berarak membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri di laut dengan bot.

Sebanyak 50 bot yang dinaiki 150 nelayan dari Pengkalan Nelayan Paramount dan Persiaran Gurney bersama ahli keluarga berkonvoi di tengah laut sejauh lebih satu kilometer bermula dari Pengkalan Nelayan Paramount hingga ke Tembok Warisan Laut di Padang Kota Lama di sini.

Turut menyertai konvoi itu Pertubuhan Jaringan Ekologi dan Iklim selain disokong oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pulau Pinang yang turut menggerakkan aset serta ski jet.

Konvoi itu juga menarik perhatian pengunjung Padang Kota Lama, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat Pulau Pinang, yang dihadiri lebih 25,000 orang bersama Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor serta Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Ketua Pengkalan Nelayan Paramount M. Ravi berkata konvoi itu bukan sekadar perayaan sebaliknya adalah simbolik peranan mereka sebagai nelayan yang merupakan penyumbang kepada keterjaminan makanan dan ekonomi negara.

Pada masa sama, beliau berkata nelayan terbabit juga dapat menzahirkan patriotisme mendalam mereka sambil meraikan kepelbagaian sambutan kemerdekaan ke arah menjadikan Malaysia negara yang kuat selain berharap lebih ramai menyertai acara itu.

“Konvoi ini pertama kali diadakan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada nelayan setempat, jadi kami harap ia dapat dijadikan acara tahunan untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita selepas konvoi itu.

Ismail Ibrahim, 62, berkata dia membawa empat cucu berusia lingkungan empat hingga 11 tahun untuk menyertai konvoi itu.

Tiga cucu perempuan Ismail memakai pakaian bertemakan kemerdekaan manakala cucu lelakinya mengenakan seragam bomba dan dia berkata begitu teruja dengan bangun seawal 6 pagi.

“Cucu saya semuanya sangat berminat dengan acara melibatkan kemerdekaan, hari ini pada 6 pagi kesemuanya sudah bangun dan bersiap memakai pakaian yang bertemakan merdeka, mereka juga sudah biasa menaiki bot, jadi mereka sangat gembira dapat menyertai acara hari ini,” katanya.

Pengkalan Nelayan Paramount adalah komuniti nelayan pantai di Pulau Pinang yang wujud sejak 1946 dan mereka adalah pakar dalam menangkap ketam, udang karang serta ikan dalam lingkungan lima batu nautika dari pantai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan