AM > BERITA

Tiga Nelayan Dikhuatiri Hilang Dekat Pulau Payar Ditemukan Selamat

13/01/2025 07:15 PM

ALOR SETAR, 13 Jan (Bernama) -- Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang setelah menjalankan aktiviti merawai dekat Pulau Payar, Khamis lepas ditemukan selamat di Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata penemuan Asrul Hisham Zainon, 47, anaknya Shahril Aiman Asrul Hisham, 16, serta Mohamad Al-Amin Sufian, 29, itu telah dimaklumkan oleh ahli keluarga mereka.

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat daripada adik kepada seorang daripada mangsa bahawa ibunya telah dihubungi nelayan berkenaan dan memaklumkan bahawa mereka bertiga berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Pihak Maritim Malaysia telah menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia dan dimaklumkan bahawa ketiga-tiga mereka diselamatkan oleh nelayan Aceh Tamiang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerusi MRSC Langkawi akan mengadakan rundingan bersama BASARNAS Indonesia bagi urusan membawa pulang ketiga-tiga nelayan berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan tiga nelayan itu dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan setelah menjalankan aktiviti merawai di Pulau Payar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan