AM > BERITA

TAIWAN SELECT Pilih Pasaraya AEON Sebagai Tapak Pelancaran Inisiatif Global

31/08/2024 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Pasaraya AEON yang terpilih di seluruh negara akan menampilkan ruang pameran bagi produk TAIWAN SELECT bagi memperkenal semula sajian istimewa negara itu kepada dunia bermula dengan Malaysia sebagai tapak pelancaran bagi inisiatif globalnya.

Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ruang pameran itu akan mengetengahkan kira-kira 150 produk makanan serta minuman terpilih daripada lebih 40 jenama.

“Pengguna Malaysia akan dapat mencuba pelbagai makanan Taiwan yang lazat, sihat dan selamat. Zon TAIWAN SELECT akan diadakan selama empat bulan hingga akhir tahun ini. Pembeli boleh mencuba pelbagai produk dan makanan Taiwan yang mereka gemari ketika membeli-belah pada hujung minggu.

“Pewujudan ruang pameran TAIWAN SELECT bukan sahaja membuka saluran jualan baharu bagi produk Taiwan tetapi juga menyediakan lebih banyak pilihan untuk pengguna di Malaysia dan di peringkat global,” menurut kenyataan itu. 

Menurut TAITRA, beberapa acara membabitkan TAIWAN SELECT dijadualkan di Pasaraya AEON dari 15 hingga 19 Nov ini yang menampilkan banyak promosi menarik dengan sidang media dalam perancangan manakala cawangan AEON di Mid Valley, Cheras Selatan dan Bukit Tinggi telah dipilih sebagai zon jualan khas.

Kenyataan itu menyebut ruang pameran tersebut menampilkan pelbagai jenama yang digemari oleh pengguna Malaysia termasuk Royal Family, HeySong, Fu Yi Shan, Shih-Chuan, Sun Right, Triko Foods, Kimlan dan Anyong Fresh.

Menurut TAITRA, produk yang ditawarkan merangkumi pelbagai kategori seperti minuman, snek, sos, makanan siap dimasak dan sedia dimakan serta makanan kesihatan dan penggemarnya bakal disajikan dengan pelbagai pilihan menarik daripada mochi dan minuman membuih yang popular hinggalah tauhu berperisa serta makanan istimewa lain.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Taiwan Kuo Jyh-Huei amat menggalakkan inisiatif TAIWAN SELECT bagi membangunkan strategi pemasaran bersama yang disokong oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan keterlihatan produk negara itu di mata antarabangsa.

“Gelombang pertama pelan ini melibatkan pewujudan zon jualan istimewa di Malaysia serta mengadakan aktiviti promosi di bandar-bandar sepanjang pantai barat Amerika Syarikat pada Oktober ini.

“Pelan hala tuju ini bakal menyaksikan peluasan aktiviti bagi mempromosi TAIWAN SELECT ke lebih banyak destinasi global dengan pelbagai tema yang disesuaikan bagi memenuhi setiap pasaran serta menampilkan kehebatan Taiwan dalam industri makanan dan minuman,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan