AM > BERITA

TAIWAN SELECT, AEON Bekerjasama Perkenal Makanan Taiwan Kepada Pengguna Malaysia

22/11/2024 08:28 PM

KLANG, 22 Nov (Bernama) -- Kerjasama antara peruncit utama di Malaysia AEON, dan TAIWAN SELECT menyediakan platform terbaik untuk memperkenalkan makanan Taiwan kepada lebih ramai pengguna di negara ini.

Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia James Chang berkata zon TAIWAN SELECT diwujudkan pada Ogos tahun ini untuk mempromosikan mochi dan sos dari Taiwan di beberapa pasar raya AEON terpilih di Malaysia.

"TAIWAN SELECT ialah inisiatif penjenamaan global yang diwujudkan untuk mempromosikan makanan Taiwan dan mendapat sokongan penuh oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan (MOEA).

"Taiwan telah lama komited untuk menghasilkan makanan yang bukan sahaja inovatif dan lazat, tetapi juga selamat dan berkualiti," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian TAIWAN SELECT di AEON Mall Bukit Tinggi, di sini hari ini.

Beliau berkata produk yang dipilih bukan sekadar untuk memenuhi cita rasa tempatan, bahkan turut memberikan gambaran menyeluruh tentang kekayaan budaya makanan Taiwan.

"Pada masa ini, terdapat lebih 1,000 syarikat Taiwan menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan organisasi lain yang diiktiraf JAKIM. Kami berharap sijil halal ini akan membantu produk Taiwan menembusi pasaran komuniti Melayu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Dagangan Taiwan di Kuala Lumpur Eva Peng berkata pengguna Malaysia memberikan maklum balas positif dengan memuji produk makanan Taiwan kerana kualiti yang konsisten dan rasa yang memenuhi selera pasaran tempatan.

"Saya fikir terdapat peningkatan kira-kira 15 peratus dalam jumlah jualan sejak TAIWAN SELECT diperkenalkan pada Ogos," katanya.

Berdasarkan kejayaan itu, TAIWAN SELECT kini menganjurkan acara promosi lima hari dari 22 hingga 26 Nov ini di cawangan AEON di Mid Valley, Cheras Selatan dan Bukit Tinggi untuk memperkenalkan lebih 160 produk terpilih daripada 45 syarikat makanan Taiwan.

Sebagai sebahagian daripada kempen promosi itu, Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan (TITA) dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) menjemput artis kek terkenal Malaysia Shaun Teo untuk menghasilkan kek fondan bertemakan Taiwan setinggi lebih 100 sentimeter.

Bagi meningkatkan kehadiran global TAIWAN SELECT, TITA dan TAITRA merancang untuk memperluas pasaran ke Amerika Syarikat, Jepun, Singapura dan rantau lain tahun depan.

TITA dan TAITRA akan bekerjasama dengan pengedar makanan antarabangsa untuk mendapatkan produk sesuai bagi setiap pasaran dan membantu meletakkan produk Taiwan di rak pasar raya di seluruh dunia.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti promosi berkaitan makanan Taiwan, sila layari laman web https://taiwanfoods.taiwantrade.com/en-us/.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan