AM > BERITA

Kebun Durian Tarikan Baharu Taman Pertanian Sabah

02/09/2024 12:07 PM

TENOM, 2 Sept (Bernama) -- Taman Pertanian Sabah (TPS) bakal mempunyai tarikan terbaru apabila kebun duriannya membuahkan hasil dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sekali gus merancakkan aktiviti agrotourism di negeri itu.

Pegawai Pertanian TPS Nur Edna Hasreen Ahlun berkata para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis buah durian premium apabila kebun itu dibuka kelak.

"Durian yang ditanam jenis premium antaranya Musang King, Black Thorn, Musang Queen 168, Asfa50, Mdur88 dan Udang Merah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada masa ini, pokok-pokok durian ditanam di kawasan seluas kira-kira 32 hektar itu berusia antara lima hingga enam tahun dan belum menghasilkan buah yang banyak.

Nur Edna Hasreena berkata TPS yang mempunyai keluasan 194 hektar itu merekodkan 10 peratus pengunjung dari luar negara setiap tahun kebanyakannya dari China dan Eropah.

"Ada pengunjung yang datang adalah peminat buah-buahan kerana di TPS ada buah-buahan yang mudah untuk dijumpai tanpa perlu masuk ke dalam hutan," katanya menambah TPS mempunyai koleksi lebih daripada 1,500 buah-buahan dan tumbuhan.

Beliau berkata selain buah-buahan, TPS juga mempunyai Taman Orkid Tempatan yang memiliki antara koleksi terbesar orkid low land di Malaysia iaitu sebanyak 350 jenis.

Sementara itu, Nur Edna Hasreena berkata TPS mencatatkan 17,000 pengunjung tahun lepas, iaitu melepasi sasaran 15,000 yang ditetapkan.

Beliau berkata pelbagai aktiviti diadakan tahun ini antaranya Pesta Bunga dan Buah-Buahan Indigenous 2024 yang berakhir semalam.

TPS terletak kira-kira 18 kilometer dari Pekan Tenom dengan tiket masuk RM10 bagi dewasa, RM5 kanak-kanak selain menyediakan bas mini untuk membawa pengunjung melihat kawasan TPS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan