AM > BERITA

Guna Teknologi Canggih, Perkasa Kerjasama Nasional Dan Antarabangsa Strategi Banteras Dadah

02/09/2024 09:58 PM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Penggunaan teknologi canggih seperti dron dan pemerkasaan kerjasama antara agensi keselamatan nasional dan antarabangsa antara strategi yang dipersetujui menerusi Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 bagi membanteras jenayah dadah dan substan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi berkata persidangan julung kali itu juga mengangkat jenayah dadah dan substan sebagai resolusi dan isu utama yang perlu ditangani segera.

“Komitmen dan tindakan susulan daripada semua pihak berkepentingan penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan resolusi ini dengan jenayah dadah dan substan dikenal pasti sebagai ancaman utama yang memerlukan perhatian segera dan berterusan,” katanya ketika membentangkan hasil resolusi persidangan itu di sini hari ini.

Strategi lain yang digariskan meliputi pelaksanaan operasi penguatkuasaan yang lebih agresif di peringkat domestik dan antarabangsa untuk memerangi jenayah penyeludupan dadah, pemerkasaan undang-undang sedia ada dan mengimplementasikan program kesedaran awam yang menekankan pentingnya keselamatan sosial dan menggalakkan komuniti setempat untuk berperanan aktif.

Persidangan sehari bertemakan “Keselamatan Bukan Untuk Dikompromi” dihadiri lebih 800 peserta itu bertujuan mengenal pasti ancaman utama keselamatan dan ketenteraman awam negara secara holistik berasaskan data serta mengenal pasti strategi bagi menangani ancaman utama negara itu.

Dapatan daripada persidangan itu turut akan dibentangkan pada Sidang Majlis Keselamatan Negara dan akan dijadikan fokus kementerian menerusi Pelan Strategik KDN 2026-2030 selain dijadikan input Rancangan Malaysia ke-13.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut menyentuh mengenai ancaman dadah berkata secara puratanya dianggarkan terdapat 135,000 penagih dadah di Malaysia, berdasarkan empat sumber data iaitu Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

“Penghuni penjara 68 peratus daripadanya adalah terkait dengan kesalahan dadah sama ada melalui Akta Dadah Berbahaya 1952 atau akta lain.

“Ini mesti kita uruskan kerana ia boleh membawa kepada masalah dalam masyarakat, (meningkatkan) trend jenayah, (wujud) kesesakan penjara..kesannya berangkai,” katanya dalam sidang media selepas berucap pada majlis penutup persidangan berkenaan.

Beliau menjelaskan ancaman keselamatan negara secara amnya adalah pelbagai antaranya kemasukan pendatang tanpa izin, pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing mahupun penyalahgunaan dadah, justeru katanya KDN akan memanfaatkan hasil persidangan untuk merangka dasar yang berkaitan.

Mengenai hasrat Malaysia untuk kekal berada dalam kedudukan ke-10 terbaik sebagai negara paling aman di dunia dalam Indeks Keamanan Global (GPI), beliau berkata ia merupakan sasaran realistik yang perlu dicapai bagi manfaat rakyat dan negara secara am.

“Jika kedudukan kita dalam indeks itu berada pada kedudukan yang baik, pertama dari sudut keselesaan dan kepuasan rakyat yang berasa selamat, kedua persepsi antarabangsa terhadap Malaysia dari segi keyakinan pelabur,” katanya.

Media pada 15 Jun lepas melaporkan Malaysia naik sembilan anak tangga dalam GPI 2024, sekali gus berjaya menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia.

GPI ialah pengukur utama keamanan global serta membentangkan analisis yang dipacu oleh data paling komprehensif setakat ini dalam trend keamanan, nilai ekonominya dan cara membangunkan masyarakat yang harmoni.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan