AM > BERITA

Fahmi Ucap Terima Kasih Kepada 100,000 Pengunjung Hadir Sambutan Hari Kebangsaan

03/09/2024 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengucapkan terima kasih kepada 100,000 pengunjung yang hadir bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lepas.

Dalam hantaran menerusi laman X, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mengikuti secara langsung acara penting negara itu di rumah.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pada sambutan kali ini,” katanya.

Dalam hantaran sama, Fahmi turut berkongsi video berdurasi kira-kira satu minit yang memaparkan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 itu.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan Hari Kebangsaan 2024 disemarakkan dengan perbarisan dan perarakan oleh 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara serta 112 haiwan dalam perkhidmatan.

Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah buat pertama kali selepas Seri Paduka Baginda mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 masing-masing pada 31 Jan dan 20 Julai lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan