AM > BERITA

Bernama Radio Membawa Identiti Tersendiri, Kekal Relevan

03/09/2024 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Landskap bidang penyiaran yang sentiasa berubah menuntut Bernama Radio untuk terus melakukan pembaharuan, merangkumi pelbagai aspek khususnya berkaitan penyampaian berita dan kandungan program bagi memenuhi kehendak pendengar.

Kemampuan Bernama Radio untuk beradaptasi dengan perkembangan semasa menjadikan stesen radio berkenaan kekal relevan, selain menjadi pilihan pendengar meskipun sudah menganjak usia 17 tahun.

Mengimbau kembali penubuhan Bernama Radio pada 2007 yang dikenali sebagai Radio24, mengetengahkan konsep stesen berita radio serta bersiaran 24 jam menggunakan FM93.9 sebagai frekuensi pertama, untuk pendengar di sekitar Lembah Klang.

Mempelbagaikan kandungan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan, Bernama Radio melakukan pelbagai transformasi dan penambahbaikan dari semasa ke semasa, bagi memenuhi kehendak pendengar yang terdiri daripada golongan profesional berumur 35 tahun ke atas.

Ini termasuklah menambah capaian pendengar beberapa negeri lain iaitu di Johor melalui frekuensi FM107.5, Kuching, Sarawak (FM100.9) dan Kota Kinabalu, Sabah (FM107.9).

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata peningkatan prestasi ditunjukkan Bernama Radio, membantu stesen itu dikenali lebih meluas selain pertambahan penajaan dari rakan strategiknya.

Beliau berkata laporan ekonomi dan bisnes yang pernah disiarkan di stesen radio itu sebelum ini juga perlu dikembalikan semula, sesuai dengan selera pendengar yang mahukan segmen itu serta selaras dengan kehendak kerajaan yang mahu gerak kerja ekonomi MADANI disebar luas.

“Saya melihat sudah tiba masanya Bernama Radio mengembalikan segmen bisnes itu secara khusus, dengan galakan daripada kerajaan yang mahu berita berkaitan ekonomi MADANI disebar luas.

“Bernama Radio patut mengambil langkah untuk memperkenalkan program khusus bisnes,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Bernama Radio Ke-17 di Wisma Bernama hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Azlina Aziz dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama Mohd Shukri Ishak.

Sementara itu, Ketua Bernama Radio Azlan Idris berkata platform penyiaran itu, bakal mengetengahkan keunikan tersendiri dengan memperkenalkan khidmat radio mudah alih menggunakan Motorhome dan kemudahan itu dijangka diterima pada bulan November nanti.

Beliau berkata dengan kelengkapan yang lengkap untuk menyiarkan maklumat di corong radio serta kemudahan bergerak ke lokasi kejadian, Bernama Radio mampu meningkatkan ketercapaian selain menjadi penanda aras baharu dalam industri radio.

Motorhome ini yang pertama digunakan di peringkat penyiaran tempatan dan Bernama akan menjadi agensi penyiaran pertama menggunakannya.

“Dengan kelengkapan set kamera dan dibantu alat pemancar komunikasi Starlink, kita boleh bersiaran di mana-mana sahaja tanpa memikirkan masalah capaian internet,” katanya.

Dalam tempoh 17 tahun, Bernama Radio telah menerima pelbagai anugerah berprestij antaranya Laporan Radio Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM), Malaysian Press Institute (MPI)-Petronas pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021 dan 2024, selain membawa pulang trofi dalam beberapa kategori pada Anugerah Seri Angkasa 2010 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan