AM > BERITA

Hotel Warisan 1926 Bakal Dibuka Semula, Tarik Pelancong Ke Pulau Pinang

03/09/2024 11:46 PM

GEORGE TOWN, 3 Sept (Bernama) -- Bangunan warisan yang menempatkan Hotel Warisan 1926 di Jalan Burma di sini, bakal beroperasi semula pada 2026 bersempena ulang tahun ke-100 penubuhannya.

Pengoperasian semula hotel itu bakal direalisasikan menerusi pemeteraian Perjanjian Pajakan antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai pemilik hartanah dengan Jetblue Sdn Bhd yang akan menguruskan bangunan bersejarah itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata perjanjian itu secara tidak langsung dapat menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara bagi melihat dan mempelajari mengenai bangunan berstatus warisan di negeri ini.

“Diharapkan dengan termeterainya perjanjian pajakan selama 15 tahun dengan opsyen tambahan 15 tahun ini dapat menjadikan Hotel Warisan 1926 sebagai sebuah lagi mercu tanda dalam sektor pelancongan dengan pengubahsuaian berkonsep moden tetapi pada masa sama masih mengekalkan elemen-elemen asal hotel tersebut.

“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kolaborasi seperti ini kerana ia bukan saja dapat membantu memartabatkan budaya tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian itu di sini, hari ini.

PDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Aziz Bakar manakala Jetblue Sdn Bhd diwakili Pengarahnya Datuk Koay Shao Sheong.

Chow berkata Pulau Pinang merekodkan 10 juta kedatangan pelawat domestik pada 2022 berbanding tahun sebelumnya dan tahun lepas hampir tujuh juta pelancong dicatatkan, justeru beliau percaya dengan adanya tarikan seperti hotel warisan itu mampu menarik lebih ramai pengunjung sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

Beliau berkata hotel itu sebelum ini beroperasi di bawah pengurusan lain dan terbiar sejak 2020 selepas tempoh perjanjian tamat.

Katanya kerja membaik pulih hotel di bawah pengurusan baharu telah dimulakan sejak 1 Ogos lepas yang menelan kos hampir RM20 juta dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.  

“Hotel ini pada asalnya mempunyai 96 bilik, tetapi akan diubah suai menjadi 78 bilik dengan menggabungkan bilik-bilik kecil untuk memberikan lebih ruang dan suasana yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan