AM > BERITA

Penggunaan BIM Perlu Diperluas Kepada Pembinaan Pembetungan, Jalan Raya - Ahmad

04/09/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Penggunaan Perisian Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) perlu diperluas dalam pembinaan pembetungan dan jalan raya, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam sebagai langkah untuk mencegah kejadian tanah jerlus seperti yang berlaku di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lepas sehingga menyebabkan seorang wanita warga India hilang.

“Sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar ditubuhkan untuk menyelaraskan segala teknologi baharu dalam pembinaan bangunan dan juga pembinaan jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan GEOCHITRA 2024 anjuran Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

BIM ialah proses penyediaan dan pengurusan model tiga dimensi (3D) berinformasi dalam kitar hayat pelaksanaan sesebuah projek, dengan model digital ini digunakan oleh pelbagai pihak untuk tujuan tertentu bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan aset menyeluruh.

Ahmad berkata beliau turut mencadangkan agar universiti dan syarikat pembinaan tempatan bekerjasama dalam membangunkan perisian BIM keluaran Malaysia.

“Ketika ini kita menggunakan perisian dari negara maju seperti United Kingdom dan disebabkan kos yang tinggi, kita meminta supaya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mereka cipta dengan pakar supaya perisian BIM boleh dikeluarkan oleh kita sendiri tanpa langgar hak cipta dari luar negara.

“Langkah ini bagi kurangkan kos, terutamanya kepada syarikat kecil apabila mereka laksanakan projek itu dan terpaksa guna BIM. Satu perisian itu kadang-kadang melibatkan puluhan ribu ringgit, jadi kita nak kurangkan kos dan keluarkan perisian sendiri,” katanya.

Pada 7 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya penggunaan BIM diperluas kepada projek-projek kerajaan dan swasta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan