AM > BERITA

Pindaan Perlembagaan Persekutuan Harus Dibuat Berdasarkan Perkembangan Semasa - Pakar

04/09/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Sebarang tindakan meminda Perlembagaan Persekutuan harus dibuat berdasarkan perkembangan semasa bagi memastikan dokumen berkenaan berupaya mendepani cabaran yang dialami rakyat pada masa kini. 

Pakar Perlembagaan Prof Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata Perlembagaan Persekutan juga perlu menyantuni karakter dan identiti masyarakat agar tiada individu yang ketinggalan dalam proses membentuk Malaysia sebagai negara idaman. 

“Kita bimbang Perlembagaan ini akan menjadi dokumen terkebelakang yang tidak dapat mendepani masalah atau cabaran semasa, jadi di sini perlukan pembaharuan kepada Perlembagaan itu sendiri selain perlu perbaiki wajah dan karakter masyarakat Malaysia. 

“Sekiranya kita dapati ada peruntukan Perlembagaan yang perlu disesuaikan dengan keadaan semasa maka perlu melalui pindaan dan pindaan itu bukan mudah kerana kita tidak mahu Perlembagaan ini dijadikan satu dokuman yang boleh dimain dan dipermainkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam program Dialog: Memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan anjuran  Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara di Jabatan Muzium Negara di sini hari ini. 

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu turut menegaskan bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan sekiranya dibuat bukan atas kemahuan mana-mana orang politik sebaliknya demi masa depan Malaysia yang lebih baik. 

“Pindaan ini memerlukan satu proses yang ketat tetapi dari semasa ke semasa saya fikir, (setakat ini) lebih 60 kali pindaan dibuat melibatkan ribuan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Perlembagaan itu bersesuaian dengan kemahuan negara,” katanya.

Timbalan Ketua (Strategi), Sustainable Development Solutions Network (UNSDSN) Sunway  University Prof Dr Wong Chin Huat pula berpandangan Perlembagaan Persekutuan satu dokumen terbuka dan terangkum yang menghormati perbezaan pandangan.

“Kita perlu lihat Perlembagaan sebagai satu ruang untuk mengiktiraf perbezaan pandangan yang legitimate atau absah, malah ia juga dokumen yang terangkum.

“Cuma masalah biasanya berlaku apabila kita suka-suka ambil sebahagian Perlembagaan dan menekankannya atau kita seolah memonopoli bahawa Perlembagaan untuk kepentingann kita sampai ada pihak lain rasa terancam,” katanya.

Beliau berkata penghayatan sejarah Perlembagaan Persekutan harus difahami oleh semua pihak agar tiada mana-mana rakyat Malaysia yang mempersoalkan hak dan kepentingan yang termaktub dalam Perlembagaan termasuk kedudukan Islam dan kaum-kaum lain.

Pensyarah Kanan Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula berpandangan pengajaran dan pembelajaran mengenai semangat Perlembagaan Persekutuan harus dimulakan di peringkat pendidikan asas iaitu sekolah rendah dan institusi keluarga. 

Beliau berkata didikan di tahap awal itu membolehkan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama untuk memahami perbezaan sekali gus mencari titik persamaan. 

“Kita harus memastikan pengajaran dan pembelajaran ini dimulakan di peringkat asas dan diteruskan di peringkat universiti, dulu sewaktu saya di universiti kami ada kursus wajib tentang Perlembagaan tetapi sekarang sudah tidak ada.

“Jarang sekali kita dengar dalam keluarga membincangkan berkenaan Perlembagaan Persekutuan sedangkan ini perkara asas pembinaan negara, jadi institusi keluarga harus memulakan usaha ini sekiranya kita mahu generasi seterusnya dapat membentuk Malaysia sebagai negara idaman generasi lepas, kini dan akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan