Ad Banner
 AM > BERITA

Belanjawan 2026: KKR Mohon Lebih Peruntukan Selenggara Jalan - Nanta

12/08/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan lebih peruntukan  dalam usaha menambah baik infrastruktur penting negara terutamanya lebuh raya utama dan jalan persekutuan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu menjadi teras utama yang dimohon kementerian itu untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentang pada Oktober ini.

“… itu bukan pertimbangan lagi, boleh dikatakan teras utama yang kami mohon untuk pertambahan peruntukan (dalam Belanjawan) sejak tahun-tahun sudah, sebab memang kita dah buat kajian dan kita memerlukan lebih besar daripada yang kita selalu dapat.

"Memang kami mengharapkan peruntukan untuk baik pulih, memperbaiki jalan yang sudah rosak dan usang… bukan hanya jalan persekutuan, tetapi juga jalan di seluruh negara perlu diberi perhatian serius,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKR bersama 200 Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks Kerja Raya, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim.

Nanta mengulas perancangan kementerian itu dalam menambah baik lebuh raya dan jalan-jalan rosak di seluruh negara termasuk Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Sesi dialog hari ini bertujuan mendapatkan cadangan dan maklum balas langsung daripada pihak industri bagi memastikan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan bersifat holistik dan responsif kepada keperluan sektor pembinaan.

Sementara itu, Nanta dalam ucapannya berkata kementeriannya komited memastikan pembangunan infrastruktur negara terus diperkasa, selaras dengan aspirasi kerajaan dan keperluan rakyat. 

Nanta berkata beliau dijangka bertemu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 22 Ogos ini untuk membincangkan cadangan inisiatif utama daripada KKR.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan