AM > BERITA

PM Anwar Nafi Kerajaan Bincang Laksana Semula GST

05/09/2024 02:33 PM

Daripada Niam Seet Wei

VLADIVOSTOK (Rusia), 5 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan tidak pernah membincangkan untuk melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai alternatif kepada pemotongan subsidi.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perbincangan tertumpu kepada strategi belanjawan dan cara untuk meningkatkan hasil kerajaan dalam usahanya untuk menangani isu kenaikan kos.

“Tiada yang khusus (mengenai GST) telah dibincangkan. Sesebuah negara tidak boleh ditadbir berdasarkan khabar angin,” katanya pada sidang media hari terakhir lawatan beliau ke Rusia, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai laporan oleh agensi berita asing Bloomberg baru-baru ini yang melaporkan Malaysia sedang menimbang untuk melaksanakan semula cukai tersebut bagi menggantikan pemotongan subsidi untuk petrol yang biasa digunakan ketika kerajaan berusaha untuk meningkat kewangannya.  

Anwar berada di sini sempena menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9. Lawatan kerja dua hari beliau ke bandar pelabuhan terbesar di rantau timur jauh Rusia ini berakhir hari ini.

-- BERNAMA    

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan