AM > BERITA

Anwar Ucap Terima Kasih Kepada Putin Jemput Hadir Sidang Kemuncak BRICS

05/09/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Presiden Rusia Vladimir Putin kerana menjemput beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS pada bulan depan di Kazan, Rusia.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih itu semasa ucapannya pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di Vladivostok, Rusia, hari ini, yang turut dihadiri komuniti pelaburan utama negara tersebut dan juga global.

“Jemputan ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat utama kami untuk menyertai kumpulan tersebut,” kata Perdana Menteri.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata dengan memohon menyertai BRICS, Malaysia menyasar untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonomi negara dan meningkatkan kerjasama dengan negara anggota melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.

Rusia kini merupakan pengerusi BRICS.

BRICS adalah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Pada Januari 2024, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.

Secara kumulatif, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara kumpulan G7. (US$1 = RM4.34)

Negara anggota BRICS juga mempunyai bilangan populasi besar sebanyak 3.21 bilion yang dijangka terus meningkat menerusi penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan UAE yang berpenduduk 333 juta orang, sekali gus membentuk pasaran mega merangkumi kira-kira 3.54 bilion orang atau hampir 45 peratus daripada penduduk dunia. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan