AM > BERITA

Kekalkan Keindahan, Kecantikan Bukit Fraser-Sultan Pahang

05/09/2024 05:55 PM

RAUB, 5 Sept (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya destinasi pelancongan popular Bukit Fraser, dikekalkan keindahan dan kecantikan alam semula jadinya.

Baginda bertitah aspek kebersihan juga perlu diberi tumpuan, bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung selain seni bina bangunan sedia ada perlu dijaga dan dipelihara sentiasa.

Al-Sultan Abdullah bertitah keluasan Bukit Fraser tidak begitu besar berbanding lokasi peranginan lain seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands di Pahang, justeru tumpuan perlu diberikan untuk mengekalkan tarikan sedia ada.

“Saya ingat kalau terlebih promosi pun mungkin akan menyusahkan orang di sini, daripada aspek lalu lintas kebersihan atau kekotoran. Kita nak jadikan Bukit Fraser ini satu destinasi yang patuh alam sekitar yang pentingkan aspek kebersihan.

“Kita nak kekalkan kecantikan bangunan-bangunan lama, selain keindahan dan kemudahan sedia ada seperti denai dan air terjun perlu diperbaiki semula, tumpu apa yang ada sekarang tak perlu bawa benda-benda baharu... apa yang perlu dibersihkan dan kemaskan elokkan semula,” titah baginda. 

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Wyndham Garden Shahzan Fraser's Hill di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man.

Mengulas mengenai infrastruktur di destinasi pelancongan itu, baginda bertitah jalan raya sedia ada perlu dijaga dengan baik kerana ia merupakan satu-satunya laluan ke kawasan berkenaan.

“Nak kawal juga kenderaan yang naik, kita tak mahu masalah di Cameron Highlands (kesesakan) berlaku di sini, tak mahu ada penerokaan haram, kalau boleh pihak berkuasa kena jaga semua dan pantau dari semasa ke semasa,” titah Al-Sultan Abdullah. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan