AM > BERITA

Lebih Separuh Golongan Dewasa Di Terengganu Obesiti

07/09/2024 12:45 PM

KUALA NERUS, 7 Sept (Bernama) -- Sebanyak 51 peratus daripada golongan dewasa di Terengganu mengalami masalah obesiti atau lebih berat badan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong berkata data itu hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun lepas. 

Beliau berkata kadar obesiti di Terengganu juga didapati meningkat iaitu daripada 47.5 peratus pada 2015 kepada 49 peratus pada 2019.

"Masalah obesiti atau lebih berat badan paling tinggi dalam kalangan individu berusia 25 hingga 50 tahun. Boleh dikatakan satu daripada dua dewasa di Terengganu berdepan masalah berkenaan.

"Situasi ini agak merisaukan kerana boleh membawa risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi yang turut mencatatkan peningkatan kes setiap tahun," katanya selepas merasmikan Sambutan Funwalk 10,000 Steps & Wellness Hub Open Day di Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.

Seramai 1,000 peserta termasuk warga JKNT dan komuniti setempat menyertai acara itu yang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat melalui senaman serta pemakanan.

Dalam perkembangan lain, Dr Kasemani berkata setakat ini tiada jangkitan cacar monyet (mpox) di negeri ini.

Bagaimanapun, JKNT turut membuat persiapan dengan memberi taklimat kepada pegawai perubatan dan kakitangan di hospital serta Klinik Kesihatan mengenai ancaman jangkitan.

"Ekoran pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa, kami di JKNT turut siap siaga dengan memberikan taklimat kepada petugas hospital bagi memastikan mereka tahu apa perlu dibuat sekiranya ada kes dilaporkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan