AM > BERITA

Projek Pemulihan Sawah Terbiar Di Sabah, KPKM Salur RM5.82 Juta

07/09/2024 01:19 PM

SOOK, 7 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan kerjasama kerajaan Sabah menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.82 juta bagi pemulihan sawah terbiar di tiga daerah iaitu Sook, Papar dan Tuaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata peruntukan itu usaha kerajaan Persekutuan dan Sabah dalam meningkatkan Kadar Sara Diri Beras di negeri berkenaan di samping menambah pendapatan pesawah dan mereka terlibat dalam sektor itu.

“Daerah Sook antara kawasan sesuai untuk penanaman padi dengan keluasan 538 ekar. Berdasarkan maklumat dalam sistem e-bajak pada tahun 2023 terdapat 556 orang mengusahakan sawah di daerah ini.

“Sebagai Ahli Parlimen yang membawa suara rakyat kawasan pedalaman, projek ini satu daripada usaha yang saya bawakan khusus untuk membantu pesawah kembali memainkan peranan aktif dalam industri padi beras,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan merasmikan Banci Pertanian 2024 Peringkat Zon Pedalaman Sabah dan Majlis Pecah Tanah Projek Pemulihan Sawah Padi Kampung Tulid, Kampung Kindasan, Kampung Pauh dan Alab Lanas, Daerah Sook.

Arthur berkata melalui projek pemulihan ini, KPKM bersama-sama Jabatan Pertanian Sabah menyasarkan membuka dan memulihkan kawasan sawah padi terbiar di daerah Sook dengan kawasan seluas 246 ekar serta peruntukan sebanyak RM1.88 juta.

“Antara skop projek ini termasuk meratakan sawah, membina jalan ladang sejauh 150 meter, perolehan dua buah traktor pembajakan dan sebuah jentera penuai serta benih padi, baja dan racun pertanian. Dianggarkan kawasan seluas 246 ekar ini akan dapat mengeluarkan hasil keseluruhannya 294 tan,” katanya.

Sementara itu, Arthur meminta semua pihak memberikan sokongan jitu dan kerjasama dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024, khususnya kepada semua pembanci yang telah dilantik.

Beliau berkata data yang diperoleh akan digunakan sebagai input untuk penambahbaikan program, bantuan dan insentif pertanian yang akan memberi manfaat kepada semua petani, penternak, pekebun kecil, pesawah mahupun nelayan.

“Saya merasakan bahawa inisiatif ini tepat pada masanya dengan mengambil kira keperluan mendesak bagi mendapatkan data sektor pertanian yang terkini sejak kali terakhir dilaksanakan 19 tahun lepas,” kata Arthur.

 -- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan