AM > BERITA

Lawatan Kerja Zambry Ke Switzerland Buka Peluang Perkasa TVET

07/09/2024 04:56 PM

PUTRAJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Switzerland selama empat hari bermula semalam akan mengukuhkan kerjasama antara dua negara serta mengantarabangsakan pendidikan tinggi negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan atas jemputan Institut Perdagangan Dunia (WTI) itu turut membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut KPT, Zambry juga akan menjadi panel Forum Perdagangan Antarabangsa dan menyampaikan ucapan pada persidangan meja bulat bertajuk ‘Peranan Pendidikan Tinggi ASEAN dalam Menyokong Komuniti Ekonomi ASEAN’ di Ibu Pejabat Forum Ekonomi Dunia, Isnin ini.

KPT turut memaklumkan bahawa Zambry telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Negara bagi Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi (SERI) Bahagian Hubungan Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan Switzerland Prof Dr Martina Hirayama.

“Pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk menghubungkan inisiatif program pertukaran pelajar, pensyarah dan penyelidik antara kedua-dua negara, yang berpotensi memberi lebih peluang kerjasama luas merentasi rantau ASEAN melalui Malaysia dan benua Eropah melalui Switzerland,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memberitahu Switzerland adalah antara negara yang aktif dalam memperkasakan pendidikan TVET bermula dari peringkat pengajian vokasional. 

“Hal ini juga selari dengan Dasar TVET negara yang sedang dilaksanakan dan sangat baik untuk kedua-dua negara saling berkongsi dan bertukar pandangan berkenaan TVET,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, Zambry dan delegasi juga akan mengadakan lawatan serta bertemu dengan Rektor University of Bern Prof Dr Virginia Richter dan melawat ARTORG Centre for Biomedical Engineering di universiti berkenaan yang melakukan kajian khusus dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dunia bioperubatan.

Zambry turut dijadual melawat École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL) yang terkenal dengan bidang penyelidikan serta memiliki lebih 500 makmal di seluruh kampus.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan