AM > BERITA

KUSKOP Lancar Pembiayaan MPPK 2.0 Untuk Penjaja Dan Peniaga Kecil

07/09/2024 05:17 PM

TENOM, 7 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini melancarkan Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) dengan kadar keuntungan sifar peratus bagi penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata Bank Rakyat menyediakan sebanyak RM8 juta dana peruntukan untuk perlaksanaan program pembiayaan itu.

“Jumlah pembiayaan hingga RM10,000 ditawarkan bergantung kepada kelayakan, keupayaan bayaran ansuran dan keperluan perniagaan pelanggan berdasarkan penilaian Bank Rakyat.

“Dengan pembiayaan pada kadar keuntungan sifar peratus saya yakin ini akan memberikan kelegaan kepada usahawan mikro dalam menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan dan fokus kepada pembangunan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Santai Namun Sampai dan Pelancaran Logo Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Dewan Datuk OKK Sanggau Jalang di sini hari ini.

Mengenai Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, program terbaru KUSKOP yang mula dilaksanakan tahun ini, Ewon berkata sebanyak 36 tapak Tamu Desa di Sabah termasuk dua di Tenom dan 13 di Sarawak sedang dalam pembinaan.

“Projek Tamu Desa yang sedang dilaksanakan ini melibatkan penaiktarafan dan bina baharu melibatkan kos sebanyak RM9 juta untuk Fasa 1 tahun 2024.

“Matlamat utama pelaksanaan projek Tamu Desa adalah untuk menyediakan atau menaik taraf ruang niaga atau pusat penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif serta memberi akses pemasaran produk jualan lebih berkesan,” katanya.

Ewon berkata KUSKOP sedang menaik taraf dua tapak Tamu Desa iaitu di Melalap dan Pekan Tenom melibatkan peruntukan sebanyak RM400,000 dan dijangka siap sepenuhnya awal Oktober ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan