AM > BERITA

Inisiatif GIST Tajaan AS Dijangka Pacu Syarikat Pemula Di Malaysia

07/09/2024 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Inisiatif Inovasi Global menerusi Sains dan Teknologi (GIST) yang dibiayai oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka memacu landskap syarikat pemula di Malaysia dengan memperkasakan saintis, penyelidik, dan usahawan peringkat awal di negara ini.

Ketua GIST untuk Malaysia Murali Prasad Y Vandayar menghargai komitmen kerajaan AS dalam memupuk bakat di negara anggota ASEAN terutamanya di Malaysia.

“Kerajaan AS terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan saintis, penyelidik, dan usahawan peringkat awal di Malaysia.

"Melalui inisiatif seperti GIST, Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi AS-ASEAN dan Perkongsian Bandar Pintar AS-ASEAN, kita dapat menggalakkan pengagihan kekayaan lebih adil dan keusahawanan yang inklusif,” kata Murali dalam satu kenyataan di sini hari ini selepas pulang daripada menghadiri 'US-ASEAN Second Annual Symposium' di Vientiane, Laos.

Murali berkata inisiatif GIST itu juga selaras dengan pengumuman terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penstrukturan semula ekonomi yang saksama di bawah inisiatif Ekonomi MADANI.

GIST, dengan sokongan Kedutaan AS di Kuala Lumpur telah memperkasakan saintis, penyelidik, usahawan dan 'angel investors' (pelabur mungkin) Malaysia melalui latihan syarikat pemula serantau dan global, inkubasi serta 'pitch competitions' sejak 2018.

Inisiatif ini sudah membimbing lebih 15,000 syarikat pemula sejak penubuhannya pada 2011. Pada 2023 ia telah menyokong 435 pengasas dan inovator serta menyalurkan pembiayaan hampir RM4 juta di seluruh dunia.

Baru-baru ini, GIST melancarkan program #LunchNotes di Courtyard KL South dengan kerjasama #AngelsInScience dan UM Alumni Angels yang bertujuan menyuntik inspirasi kepada graduan Universiti Malaya (UM) untuk membina syarikat pemula bertaraf global. 

“Kami berharap #LunchNotes akan memberikan motivasi kepada graduan terutama yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana serta tidak mempunyai latar belakang usahawan untuk belajar daripada individu yang berjaya selain mendapatkan akses kepada sumber serta bimbingan diperlukan bagi menyertai ekonomi syarikat pemula terbesar di dunia,” kata Murali.

Inisiatif GIST berusaha menyediakan akses percuma kepada sumber dan bimbingan untuk kumpulan kurang diwakili di Malaysia, memastikan individu daripada pelbagai latar belakang termasuk wanita, golongan minoriti dan keluarga berpendapatan rendah berpeluang menyertai ekosistem keusahawanan sains dan teknologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan