AM > BERITA

JaPen Gerakkan 81 Kelab Malaysiaku, 135 Komuniti Madani Semarak Semangat Cinta Negara

07/09/2024 09:03 PM

BACHOK, 7 Sept (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan menerusi 81 Kelab Malaysiaku di seluruh negeri ini melaksanakan pelbagai program bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini. 

Pengarahnya Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata di peringkat komuniti pihaknya turut menggerakkan 135 Komuniti MADANI di Kelantan untuk sama-sama menjayakan program itu sekali gus mengukuhkan perpaduan antara kaum. 

“Pelbagai program telah disusun di peringkat komuniti mengikut kesesuaian kawasan masing-masing misalnya program Jiwa Komuniti MADANI @Hari Malaysia yang menonjolkan elemen tradisi dan kebudayaan. 

“Program ini juga melibatkan peringkat sekolah yang disertai pelajar, guru dan petugas sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI @Hari Malaysia melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pantai Irama di sini hari ini.

Beliau berkata gerakan menyemarakkan semangat patriotisme itu yang merupakan kesinambungan daripada sambutan Bulan Kebangsaan baru-baru ini, dilihat berjaya meningkatkan lagi kesedaran rakyat Kelantan untuk sama-sama mengibar Jalur Gemilang termasuk di jalan utama, kenderaan, rumah serta premis perniagaan. 

Muhd Nor Aswadi berkata pihaknya turut membuat kelainan semasa program Kembara Merdeka Jalur Gemilang pada bulan lepas, apabila turut melibatkan 67 bot dan perahu nelayan menyusuri Sungai Kelantan dari Tambatan Diraja hingga ke Kampung Laut, Tumpat sambil mengibarkan bendera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan