AM > BERITA

Kadar Tol Mungkin Boleh Kurang Jika Kos Pembangunan Lebuh Raya Dikawal - PM Anwar

08/09/2024 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata kadar tol mungkin boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal, selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.

Anwar berkata kos pembangunan lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan namun meningkat disebabkan terlalu banyak bayaran yang dikeluarkan untuk proses kelulusan.

“Ini mesti dihentikan. Saya percaya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk projek yang seterusnya, pastikan kelulusan disegerakan. Ini boleh berlaku kalau semua bertanggungjawab dan merasakan ini (projek lebuh raya) projek rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lestari yang pertama di lebuh raya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan, di Seremban hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi LLM Datuk Seri Hasni Mohammad.

Mengambil contoh projek Rumah Madani di Taman Desa di Kuala Lumpur yang beliau lancarkan baru-baru ini, Anwar berkata kelulusan projek itu berjaya disegerakan atas pertimbangan bahawa keperluan perumahan itu mendesak untuk golongan berpendapatan rendah.

“(Kalau) Mahu tunggu nak dapat kelulusan dua tahun...kos meningkat, tunggu lama, jadi apabila kita desak, kita tekan, pastikan peraturan diikuti jangan ada ketirisan dan jangan ada orang ambil kesempatan…ia boleh dilakukan, kalau kita ada pendirian jelas,” katanya.

Kawasan R&R Seremban (Arah Selatan) itu bukan sahaja menawarkan pelbagai kemudahan demi keselesaan pengguna lebuh raya, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dengan melahirkan lebih 500 usahawan kecil dan sederhana yang disokong ribuan pembekal daripada komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan