AM > BERITA

Ikan Asli Di Perak Diancam Kepupusan - Exco

08/09/2024 06:20 PM

PARIT, 8 Sept (Bernama) -- Jabatan Perikanan Negeri Perak mendapati beberapa spesies ikan di Sungai Perak, Tasik Bukit Merah dan Tasik Temenggor diancam kepupusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata antara spesies ikan yang mengalami kepupusan ialah kelah, temoleh, kelisa, lampam sungai, bujuk dan patin buah dengan kesemua spesies itu mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

"Berdasarkan maklumat terkini, pelbagai ancaman yang menyebabkan populasi ikan asli di Perak semakin menurun dan menjurus ke arah kepupusan disebabkan telah dimakan oleh ikan asing.

"Ini menjejaskan populasi dan habitat ikan, kalau tidak dapat dibendung akan menjejaskan bukan sahaja ikan tetapi (pendapatan) nelayan itu sendiri," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Memburu Ikan Asing di Dewan Terbuka Ngah Sagor di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat juga pihak tertentu yang gemar melepaskan ikan peliharaan ke sungai atau tasik apabila ikan berkenaan sudah terlalu besar dan sukar diuruskan.

Mohd Zolkafly berkata selain itu, aktiviti pelepasan ikan di perairan sungai untuk tujuan ritual keagamaan seperti membayar nazar atau hajat tertentu merupakan faktor yang mengundang terlalu banyak ikan asing di perairan.

"Jadi, pihak Jabatan Perikanan Negeri Perak akan mengadakan pertemuan dengan peniaga ikan hiasan, wakil-wakil kuil dan tokong supaya kita dapat memberi penjelasan kepada mereka agar tidak menggunakan lagi ikan asing semasa melakukan nazar atau hajat," katanya.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata Jabatan Perikanan Negeri Perak juga dalam proses mengkaji untuk menambah baik peruntukan dalam Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 supaya ia relevan dengan keadaan semasa dan selaras peruntukan undang-undang.

Beliau berkata antara sebab keperluan untuk meminda kaedah terbabit ialah aktiviti pelepasan ikan asing menjadi tidak terkawal, memperkasakan tindakan penguatkuasaan perikanan darat serta tindakan yang perlu dikemaskan lagi untuk memulihara spesies ikan asli.

"Apabila proses kajian selesai, penambahbaikan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk mendapat kelulusan dan ke persidangan Dewan Undangan Negeri untuk meminda kaedah berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan