Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali and Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Tahun 2024 menyaksikan peralihan kepimpinan besar di seluruh dunia, termasuk kepulangan bersejarah Donald Trump ke Rumah Putih di Amerika Syarikat (AS) serta peralihan kepimpinan yang ketara di Asia seperti di Jepun, Thailand dan Bangladesh.
Di Amerika Syarikat, Donald Trump kembali ke Rumah Putih selepas kempen yang penuh liku, termasuk terselamat daripada dua insiden tembakan yang menambah intensiti luar biasa kepada perlumbaan presiden.
Trump menewaskan calon Demokrat, Kamala Harris, bekas Naib Presiden dalam Pilihan Raya Presiden pada 5 Nov. Beliau dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-47 pada 20 Jan 2025.
Dalam persediaan untuk penggal keduanya, Trump bertindak pantas dengan mengumumkan 101 pelantikan utama dalam tempoh lebih sebulan selepas pilihan raya – dua kali ganda kadar peralihan presiden sebelumnya – menandakan kesungguhan untuk menangani isu mendesak.
Pengumuman lanjut dijangka dibuat menjelang pelantikannya.
Landskap politik Jepun pula mengalami perubahan besar pada 2024, bermula dengan peletakan jawatan Perdana Menteri Fumio Kishida pada Ogos berikutan skandal yang menghakis kepercayaan awam.
Kishida mengakui bahawa kontroversi itu telah merosakkan kredibiliti Parti Liberal Demokratik (LDP) dan menyeru pembaharuan politik, tetapi tekanan yang semakin memuncak memaksanya meletak jawatan walaupun sebelum ini beliau memberikan komitmen untuk menangani rasuah.
Shigeru Ishiba, ahli LDP bukan arus perdana menggantikan Kishida selepas memenangi undian sebagai presiden parti dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Okt.
Namun, beliau dikritik kerana mengumumkan pilihan raya awal pada 30 Sept, sehari sebelum pelantikannya secara rasmi, dengan pilihan raya umum diadakan pada 27 Okt.
Dalam pilihan raya itu, gabungan pemerintah LDP dan Komeito Baharu kehilangan majoriti besar buat kali pertama dalam lebih sedekad, kekurangan 18 kerusi untuk mengekalkan dominasi dengan hanya 215 kerusi.
Parti Pembangkang Utama, Parti Demokratik Perlembagaan (CDP), memperoleh 50 kerusi tambahan menjadi 148, manakala Parti Inovasi Jepun (Ishin) kehilangan enam kerusi kepada 38, dan Parti Demokratik Nasional (NDP) memperoleh 21 kerusi tambahan kepada 28.
Walaupun begitu, pembangkang yang berpecah belah masih belum bersedia untuk mencabar LDP, membolehkannya kekal berkuasa, menurut Kazuto Suzuki, Felo Bersekutu di Chatham House.
Di Taiwan, Naib Presiden Lai Ching-te daripada Parti Progresif Demokratik (DPP) memenangi Pilihan Raya Presiden pada 13 Jan, memastikan penggal ketiga berturut-turut untuk partinya – sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Taiwan.
Kemenangan Lai juga merupakan kali pertama sejak pilihan raya presiden langsung pertama Taiwan pada 1996, seorang calon menang dengan kurang daripada 50 peratus undi.
Di Korea Selatan, Presiden Yoon Suk Yeol secara mengejut mengisytiharkan undang-undang tentera dalam satu siaran televisyen tidak berjadual pada 3 Dis, dengan alasan kebimbangan terhadap tindakan pembangkang, Parti Demokrat dan ancaman daripada ‘kuasa anti-negara’ yang dikaitkan dengan Korea Utara.
Namun, deklarasi itu dibatalkan dalam beberapa jam berikutan reaksi balas daripada penggubal undang-undang dan kemarahan orang ramai. Pada 14 Dis, Parlimen mengundi untuk mendakwa Yoon dan menggantung tugasnya sebagai presiden.
Mahkamah Perlembagaan kini mempunyai masa enam bulan untuk memutuskan sama ada untuk mengekalkan atau memecat Yoon, yang akan menentukan masa depan politik Korea Selatan.
Di Bangladesh, protes besar-besaran terhadap kuota pekerjaan untuk waris Perang Pembebasan membawa kepada kejatuhan Kerajaan Perdana Menteri Sheikh Hasina.
Dr Muhammad Yunus, penerima Anugerah Nobel, dilantik sebagai Ketua Penasihat dalam kerajaan sementara selepas Hasina melarikan diri ke India pada Ogos.
Yunus dalam ucapannya kepada rakyat bersempena Hari Kemenangan Ke-54 negara itu, berkata pilihan raya mungkin diadakan pada penghujung 2025 atau awal 2026.
Thailand menyaksikan peralihan kepimpinan dalam 2024 apabila Paetongtarn Shinawatra menjadi Perdana Menteri ke-31 negara itu pada 16 Ogos, menggantikan Srettha Thavisin yang penggal perkhidmatannya berakhir kurang dari setahun.
Pada 20 Okt, Prabowo Subianto, seorang bekas jeneral dan Ketua Parti Gerindra mengangkat sumpah sebagai Presiden Kelapan Indonesia menggantikan Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang melengkapkan penggal kedua dan penggal terakhir perkhidmatannya tahun ini sejajar dengan had ditetapkan Perlembagaan Indonesia.
Pilihan raya diadakan pada Februari dan menyediakan pentas peralihan kepimpinan berikutan kemenangan Prabowo.
Singapura pula mengalu-alukan Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri Singapura Keempat pada 15 Mei, menggantikan Lee Hsien Loong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial