AM > BERITA

PRK Mahkota: Peniaga Jangan Ambil Kesempatan Naikkan Harga

08/09/2024 06:46 PM

JOHOR BAHRU, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengingatkan peniaga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Kluang supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan di kawasan itu.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada pihak yang didapati berbuat demikian. 

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 200 pegawai penguat kuasa sentiasa melakukan pemantauan harian di seluruh negeri termasuk di DUN Mahkota.

"Peniaga diingatkan menjalankan perniagaan dengan beretika serta mematuhi undang-undang. KPDN Johor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kerana selama ini pelbagai langkah advokasi dan pemberitahuan telah dibuat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Jualan Rahmah (PJR) MADANI Outdoor Sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang di sini hari ini.

Lilis Saslinda menjawab pertanyaan pemberita sama ada pihaknya menerima aduan berlaku kenaikan harga barang susulan PRK DUN Mahkota.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept. 

Mengenai PJR MADANI, Lilis Saslinda berkata program itu telah memanfaatkan lebih 100,000 rakyat Johor pada tahun lepas.

PJR MADANI Outdoor yang diadakan sehari di Pasir Gudang hari ini, katanya menyasarkan lebih 10,000 isi rumah bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. 

Program terbabit menawarkan potongan harga barangan hingga 30 peratus antaranya beras, telur, minyak masak dan tepung gandum.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan