AM > BERITA

Duta Malaysia Punyai Tanggungjawab Penting Dalam Melindungi Kepentingan Negara - PM

09/09/2024 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia mengenai tanggungjawab penting mereka dalam mempertahankan dan melindungi kepentingan negara Malaysia.

Beliau turut menekankan keperluan bagi mereka mengambil peranan yang lebih proaktif yang boleh membantu meningkatkan ekonomi, semasa kerajaan MADANI terus menumpukan usaha mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Saya juga menekankan keperluan untuk semua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia mengambil peranan lebih proaktif dalam membuat susulan, meneroka, dan menarik pelaburan asing berkualiti tinggi, serta meningkatkan perdagangan dua hala bagi meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan Facebook hari ini, selepas menerima kunjungan hormat daripada enam Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia baharu, yang akan memulakan tugas di luar negara tidak lama lagi.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua wakil Malaysia yang baru dilantik.

“Semoga mereka dapat memikul tanggungjawab baharu dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen dan kesungguhan,” katanya.

Pada 27 Ogos lepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyampaikan surat cara pelantikan kepada utusan yang baru dilantik dalam satu istiadat di Istana Negara.

Mereka terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Datuk Mohd Aini Atan, Duta Besar Malaysia ke Sweden Sarimah Akbar, Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal @ Mohd Faizal Razali, dan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Yang lain ialah Duta Besar Malaysia ke Peru Ahmad Irham Ikmal Hisham dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Mohd Shuhada Othman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan