AM > BERITA

Think City Terima 255 Permohonan Geran Pekan Seberang Perai

09/09/2024 06:23 PM

GEORGE TOWN, 9 Sept (Bernama) -- Geran Pekan Seberang Perai oleh Think City yang dilancarkan Februari lepas mendapat sambutan luar biasa apabila menerima 255 permohonan daripada komuniti melibatkan 70 pekan kecil dan kejiranan di ketiga-tiga daerah dalam Seberang Perai.  

Geran meliputi 13 sektor tertumpu pada pelancongan dan projek pembinaan kapasiti itu merupakan sebahagian Program ‘Levelling Up Seberang Perai’, bertujuan menghidupkan dan memberikan nafas baharu kepada pekan kecil dan kawasan kejiranan di Seberang Perai.

Pengerusi Think City Datuk Seri Anwar Fazal berkata pihaknya kini di peringkat akhir penilaian permohonan yang turut melibatkan semua pihak berkepentingan berkaitan dalam kerajaan.

“Penerima program ini akan diumumkan secara rasmi awal bulan depan dan penganugerahan geran akan diberikan selepas itu.

"Kita amat teruja untuk melihat projek-projek dilaksanakan yang semestinya akan memberikan impak positif kepada komuniti di Seberang Perai,” katanya pada sidang media Bengkel Wanita Gerak@Seberang Perai di Komtar, hari ini.

Think City, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, sebelum ini memaklumkan program yang disokong sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan itu menawarkan geran sehingga RM200,000 bagi menyokong projek akar umbi yang mampu memberikan nafas baharu dan mendorong pembangunan setempat ke arah masa depan yang mesra alam, lestari dan inklusif.

Pada majlis itu, turut berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Think City dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Anwar menandatangani bagi pihak Think City manakala PWDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ong Bee Leng, disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim.

Beliau berkata MoU berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memajukan pembangunan sosial dan ekonomi komuniti setempat, terutamanya usaha memperkasakan golongan wanita dan kumpulan terpinggir di Seberang Perai.

Sementara itu, Lim berkata bengkel yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Lingkaran Harapan dengan kerjasama PWDC tersebut merupakan sebahagian inisiatif Geran Pekan Seberang Perai yang bermatlamat membina kapasiti golongan wanita dalam komuniti tempatan supaya dapat memimpin serta mengurus dengan lebih efektif, terutama projek-projek berasaskan ekonomi.

“Lapan sesi Bengkel Wanita Gerak akan diadakan dengan menyasarkan seramai 60 wanita untuk setiap sesi bengkel dan secara kumulatif, program bermula pada bulan Oktober ini dijangka akan melatih seramai 480 wanita, yang akan diadakan di empat lokasi pekan kecil meliputi kawasan utara, tengah dan selatan Seberang Perai,” katanya. 

Beliau berharap bengkel itu berupaya menjadi platform untuk merangsang penglibatan aktif wanita dalam komuniti agar pemerkasaan komuniti dapat dicapai sekali gus menambah peluang ekonomi setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan