AM > BERITA

Rekod Simpanan Arkib Negara Dapat Hasilkan Catatan Sejarah Lebih Menyeluruh – Aaron

09/09/2024 10:28 PM

KUCHING, 9 Sept (Bernama) -- Maklumat yang dikumpulkan oleh Arkib Negara Malaysia boleh  digunakan untuk menghasilkan catatan sejarah yang lebih menyeluruh di negara ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron berkata sebelum ini, rekod yang disimpan di arkib mungkin agak kurang dimanfaatkan oleh pengkaji sejarah hingga ada pihak yang menimbulkan isu catatan sejarah negara tidak begitu komprehensif.

“Sekarang kita mahu (Arkib Negara) menjadi lebih aktif. Mereka mempunyai kesemua maklumat yang disimpan dan perlu diberitahu kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya juga akan mengadakan satu Konvensyen Sejarah Malaysia pada 19 Sept ini sebagai inisiatif untuk mengumpul catatan sejarah yang lebih menyeluruh di negara ini.

Aaron berkata konvensyen itu juga dapat digunakan sebagai platform bagi pihak yang berkaitan untuk melihat kembali fakta sejarah yang sudah dicatatkan bagi melengkapkan lagi maklumat.

“Mungkin dari segi pengisian (fakta sejarah) di bawah pendidikan tidak begitu menyeluruh, ada yang tertinggal dan sebagainya, justeru daripada konvensyen ini nanti diharapkan kita dapat sampai kepada tahap yang mengikut apa yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan