Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Geran Kepada SRN, KRN Perkukuh Penghayatan Rukun Negara - Aaron

14/06/2026 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Pemberian geran aktiviti kepada 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) dan 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dijangka dapat memperkukuh penghayatan serta amalan nilai Rukun Negara dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata geran sebanyak RM10,000 kepada setiap SRN dan RM5,000 kepada setiap KRN itu akan memperkasakan peranan kedua-dua institusi berkenaan sebagai platform utama memupuk semangat perpaduan, patriotisme dan tanggungjawab kewarganegaraan.

Selain itu, katanya peruntukan geran padanan berjumlah RM5 juta melalui Belanjawan 2027 bagi menghidupkan semula 10 memorial negarawan yang dikelolakan oleh Arkib Negara Malaysia akan membantu usaha memelihara warisan sejarah negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Langkah ini bukan sahaja memelihara warisan sejarah negara, malah menjadi medium penting untuk mendidik rakyat mengenai perjuangan tokoh-tokoh negara dalam membina Malaysia yang aman, bersatu dan berdaulat.

“Usaha ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh agenda perpaduan nasional melalui penghayatan Rukun Negara dan pemerkasaan sejarah negara sebagai asas pembinaan negara bangsa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian geran aktiviti sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan.

Aaron berkata Rukun Negara perlu terus dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian rakyat dan bukannya sekadar menjadi dokumen rasmi.

“Dalam masa yang sama, sejarah negara perlu terus diangkat dan dihargai agar generasi masa kini dan akan datang memahami akar pembentukan negara serta nilai yang menyatukan kita sebagai sebuah bangsa Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan