AM > BERITA

Bernama Radio Adakan Siaran Luar Khas Bersama Peminat Di Atas Bas KL HOHO

10/09/2024 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Bernama Radio buat julung kalinya mengadakan siaran luar khas di atas bas KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) bersama 20 orang pendengar setia stesen radio itu, menelusuri laluan berhampiran bangunan-bangunan ikonik di bandar raya bagi meraikan ulang tahun ke-17 Bernama Radio pada 3 Sept lepas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata program itu bertujuan menyantuni pendengar setia Bernama Radio sebagai tanda sokongan terhadap stesen berkenaan. 

“Walaupun kita tidak dapat melaksanakannya dalam skala besar, usaha ini tetap menunjukkan keikhlasan kita dalam mendekati para pendengar Bernama Radio,” katanya selepas Majlis Sarapan Pagi bersama peminat Bernama Radio di Hotel IDEAS, di sini hari ini. 

Sementara itu Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Teknologi Maklumat KL HOHO Fazmin Izzam Che Ali berharap kerjasama seperti ini akan terus berkembang untuk memperkukuh lagi hubungan baik antara Bernama dan KL HOHO.

“Kami sentiasa membuka ruang kepada pihak Bernama untuk menganjurkan program bersama dan menikmati keindahan Kuala Lumpur bersama penumpang kami,” katanya. 

Sementara itu Nurshamiza Mansor, 40, yang sudah 17 tahun menjadi pendengar setia stesen radio tersebut berkata beliau berasa teruja kerana bukan sahaja dapat berjumpa dengan Peneraju Spektrum Pagi Bernama Radio, Raifanabillah Zulkifli dan Amar Yusoff, tetapi juga dapat menikmati udara segar di kota metropolitan.

“Pengalaman hari ini memang tidak dapat diungkapkan sebab saya sendiri tak banyak pergi ke tempat ikonik yang ada di sini, tetapi bila naik bas KL HOHO ini saya berkesempatan singgah di beberapa tempat seperti Dataran Merdeka,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan sokongan jualan di syarikat swasta.

Bahkan Nurshamiza yang turut menyertai program hari ini bersama anak sulungnya berkata beliau tertarik dengan Bernama Radio kerana banyak menyediakan berita serta informasi terkini selain lebih santai.

Senada dengannya, Pengurus Sumber Manusia Zulfaiz Zulkifli, 38, berkata meskipun segmen skrol siber yang dikendalikan Raifanabillah dan Amar itu padat dengan kandungan berita, tetapi ia tetap diselitkan dengan jenaka.

“Hari ini saya sanggup ambil cuti kerana tidak mahu lepaskan peluang kenali Bernama Radio lebih dekat dan tahu bagaimana cara kerja mereka, sebelum ini saya tertanya-tanya juga, bagaimana mereka kendalikan program tersebut,” katanya yang telah mendengar Bernama Radio sejak 2019.

Raifanabillah atau mesra disapa Raifa berkata beliau bersyukur dan gembira sebab dapat bersua dengan peminat yang aktif dan selalu memberi maklum balas melalui panggilan dan media sosial sepanjang program berlangsung.

“Sebenarnya pada 2018 kita pernah buat juga program bersama dengan peminat, jadi hari ini kita dapat jumpa balik setelah sekian lama. Tahun depan insya-Allah akan ada lagi program macam ini dan harap lebih ramai lagi peminat boleh turut serta, kalau hari ini 20 orang sahaja, mungkin nanti dapat lebih,” katanya.

Program Bernama Radio On KL HOHO dijayakan dengan kerjasama KL Hop-On Hop-Off dan Hotel IDEAS Kuala Lumpur selaku rakan strategik utama.

Program selama kira-kira empat jam itu bermula pada pukul 7 pagi, menelusuri laluan bermula dari hadapan Perpustakaan Negara Malaysia dan melintasi pelbagai mercu tanda Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas KLCC, Menara Kuala Lumpur, Muzium Negara, Taman Burung Kuala Lumpur, Masjid Negara, Dataran Merdeka, dan Hotel IDEAS Kuala Lumpur sebelum kembali ke Wisma Bernama.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan