AM > BERITA

SPNB Bina 68,803 Rumah Mesra Rakyat Sejak 2002

10/09/2024 04:47 PM

KLUANG, 10 Sept (Bernama) -- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah membina 68,803 Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara sejak program itu diperkenalkan pada 2002.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, 66,830 unit siap dibina setakat 31 Ogos lepas, manakala 1,973 unit lagi sedang dalam pembinaan.

"Di Johor, sebanyak 8,013 unit RMR dibangunkan dengan 57 daripadanya di kawasan Parlimen Kluang. 

"Pembiayaan RMR ini berjaya membantu golongan sasar iaitu yang memiliki tanah untuk membangun sebuah rumah kediaman yang sempurna dan selesa," katanya pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra dan Perasmian RMR di Kampung Tengah di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata penerima program RMR berkenaan hanya perlu membayar RM55,000 atau dengan RM300 sebulan tanpa faedah selama 16 tahun.

"Rumah ini menepati ciri-ciri Islamik dengan pintu dibuka tidak menghadap ruang tamu selain kedudukan tandas tidak menghadap arah kiblat," katanya sambil menambah unit RMR itu berkeluasan 750 kaki persegi melibatkan kos keseluruhan bernilai RM75,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 ditanggung kerajaan.

Sementara itu, penerima unit kediaman RMR Nurhazimah Mohd Hamizan, 28, berkata dia bersyukur kerana kediamannya telah siap dibina dan teruja untuk berpindah masuk.

"Sebelum ini saya dan keluarga menyewa rumah dengan bayaran bulanan sebanyak RM300," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan