AM > BERITA

Anjakan Lebih Berani, Progresif Perlu Dilakukan Untuk Tingkat Daya Saing Negara - KSN

10/09/2024 08:33 PM

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Perkhidmatan Awam perlu melakukan anjakan yang lebih berani dan progresif untuk meningkatkan penarafan daya saing di peringkat global, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan Malaysia telah jatuh tujuh anak tangga ke kedudukan ke-34 dalam Penarafan Ranking Daya Saing Dunia 2024 oleh Institut Antarabangsa bagi Pengurusan Pembangunan (IMD), berbanding tempat ke-27 pada tahun sebelumnya. 

"Ini menunjukkan bahawa daya saing negara memerlukan reformasi struktural yang lebih holistik dan tangkas," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata negara memiliki potensi besar dalam pelbagai bidang daya saing antaranya dalam bidang digital dengan menduduki ke-29 daripada 64 buah negara yang dinilai IMD tahun lepas, berbanding ke-31 pada 2022 selain berjaya menarik pelaburan syarikat gergasi seperti Amazon Web Services (AWS) dan Google.

Beliau berkata dalam konteks sektor awam pula, berdasarkan rekod Jabatan Digital Negara (JDN) setakat April lepas, pencapaian perkhidmatan hujung ke hujung (E2E) ialah 68 peratus dan beliau optimis angka tersebut akan mencecah 80 peratus menjelang 2025.

"Begitu juga dengan pelaksanaan projek digital kerajaan yang menggunakan perkhidmatan pengkomputeran awan. Sehingga Ogos lepas, sebanyak 21 projek telah dilaksanakan melibatkan 11 kementerian...manakala 168 set data terbuka berkualiti tinggi telah disediakan oleh kementerian dan agensi berbanding 25 set data yang disasarkan untuk tahun ini dan tahun depan.

"Ini menunjukkan langkah-langkah yang kukuh dari aspek pendigitalan, termasuklah perkembangan infrastruktur digital yang pesat, hasil daripada komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda kemajuan digital dalam negara," katanya. 

Sementara itu, Shamsul Azri berkata penjawat awam perlu menzahirkan taat setia kepada kerajaan memerintah serta mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan bagi menjamin profesionalisme serta kewibawaan perkhidmatan awam.

Katanya, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sangat tegas dalam tatakelola dan membanteras rasuah adalah sangat tepat dengan keadaan dan situasi semasa yang menyaksikan usaha melonjakkan ekonomi negara di persada antarabangsa. 

"Dalam konteks Malaysia MADANI, kita semua mempunyai tanggungjawab besar untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah digariskan bagi membina sebuah negara yang lebih bersih, inklusif, adil dan progresif.

"Kita mungkin memiliki undang-undang yang terbaik, polisi yang hebat, namun jika tidak ada kesetiaan, integriti dan kecekapan dalam kalangan kita, undang-undang dan polisi ini tidak akan mencapai matlamatnya," katanya.

Beliau berkata penjawat awam bertanggungjawab bukan hanya untuk mematuhi undang-undang, tetapi juga untuk memastikan bahawa ia dilaksanakan dengan penuh integriti dan ketelusan. 

Sehubungan itu, katanya beliau berharap Akademi Kenegaraan dapat mewacanakan prinsip taat setia itu agar terus disemarakkan dalam diri para penjawat awam.

Bersempena Sambutan Hari Malaysia 2024, Shamsul Azri turut mengajak semua penjawat awam untuk menghayati sedalam-dalamnya nilai MALAYSIA yang ingin digarapkannya dalam merealisasikan agenda transformasi perkhidmatan awam.

Beliau berkata semangat MALAYSIA yang dimaksudkannya adalah akronim kepada nilai-nilai Mesra, Adil, Luhur, Amanah, Yakin, Setia, Islah dan Arif yang seharusnya menjadi pegangan setiap penjawat awam.

"Saya tekankan, semangat ini bukan bermusim sebaliknya harus ada di dalam diri kita di mana pun kita berada dan pada bila-bila masa sahaja. Insya-Allah, nilai MALAYSIA ini akan sama-sama dapat memacu usaha pelaksanaan agenda reformasi perkhidmatan awam yang tuntas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan