AM > BERITA

ESTCON 2024: Platform Inovatif Untuk Membangun Pengetahuan, Mencapai Masa Depan Lestari

10/09/2024 08:45 PM

KOTA KINABALU, 10 Sept (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) menganjurkan Kongres Kejuruteraan, Sains, dan Teknologi Dunia edisi kelapan sebagai platform untuk penyelidik, ahli akademik, saintis, jurutera, dan pemain industri bertukar pandangan serta mengembangkan pengetahuan bagi masa depan yang mampan.

Berlangsung selama dua hari sehingga esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), acara dwitahunan yang disokong oleh PETRONAS dan Kementerian Pengajian Tinggi ini menghimpunkan 1,000 peserta dari 25 negara untuk membincangkan trend dan cabaran terkini dalam bidang kejuruteraan, teknologi, serta kemanusiaan.

Naib Canselor UTP Prof. Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata dengan tema 'Pendudukan Masa Depan melalui Tenaga Lestari, Pendigitalan, dan Komuniti Pintar', kongres itu diperbaharui dan dipertingkatkan untuk menyelami selok-belok peralihan dan transformasi tenaga serta memupuk kehidupan mampan.

Bagi edisi kali ini, beliau berkata terdapat lima persidangan yang merangkumi pelbagai bidang dalam inovasi, kejuruteraan, teknologi, serta kemanusiaan untuk menangani trend dan cabaran terkini yang dihadapi dunia.

“ESTCON2024’ juga akan menangani trend kontemporari dan cabaran global yang merangkumi pelbagai disiplin dalam inovasi, kejuruteraan, teknologi, dan kemanusiaan," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, di sini hari ini.

Mohamed Ibrahim berkata ESTCON sentiasa menjadi platform yang sangat baik untuk perkongsian pengetahuan, perbincangan intelektual dan rangkaian dalam pelbagai bidang.

“Dengan membina jambatan antara penyelidik, ahli akademik, dan industri serta menghubungkan minda inovatif merentas disiplin, kami berharap ESTCON2024 akan menyediakan platform yang memberi inspirasi dan inovatif untuk bertukar dan membangunkan pengetahuan, serta memupuk kerjasama yang berkekalan,” katanya.

Sementara itu, UTP dalam kenyataan akhbar memaklumkan bahawa ESTCON2024 menampilkan lima persidangan utama yang menawarkan penerokaan mendalam mengenai bidang kemampanan, termasuk Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi Penyahkarbonan dan Persidangan Antarabangsa mengenai E-Mobiliti.

Ia juga termasuk Persidangan Antarabangsa mengenai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, Persidangan Antarabangsa mengenai Bandar Pintar, dan Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi Bawah Permukaan."

"Program kepelbagaian ini memberi peluang kepada peserta untuk melibatkan diri dengan profesional industri, menyelidiki trend dan pandangan tentang peralihan tenaga, kemampanan, dan pendigitalan. Lebih daripada 500 kertas penyelidikan telah dibentangkan, memupuk pertukaran pengetahuan serta kerjasama antara pakar industri dan ahli akademik.

Ia juga memberikan peluang unik kepada penduduk Sabah untuk melibatkan diri dengan pemimpin pemikiran global dan meneroka kemajuan terkini dalam kemampanan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan