AM > BERITA

Pencemaran Bau: Kerja Pembersihan, Lupus Sisa Kimia Dijangka Siap Sepenuhnya 22 Sept - Exco Johor

11/09/2024 12:03 PM

JOHOR BAHRU, 11 Sept (Bernama) -- Kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan kimia di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika di sini dijangka siap sepenuhnya pada 22 Sept ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata pihak kontraktor akan mengemukakan cara dan kaedah pembersihan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru sebelum kerja-kerja pembersihan yang dijangka mengambil masa selama seminggu itu dapat dimulakan.

“Sehubungan itu orang awam dinasihatkan tidak panik semasa tempoh kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan terjadual dilaksanakan dikawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak memasuki dan berada di kawasan kejadian atau melakukan sebarang aktiviti berdekatan kawasan Sungai Tebrau dan Sungai Plentong.

“Orang ramai juga diminta mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala seperti sesak nafas, sakit dada, loya, muntah dan pening kepala selepas terhidu bau yang disyaki akibat pembuangan sisa kimia.

“Elakkan aktiviti di luar rumah, terutamanya kumpulan berisiko seperti ibu hamil, pesakit kronik, kanak-kanak dan warga emas. Mereka yang berkemungkinan terdedah kepada sisa kimia berkaitan juga dinasihatkan supaya mandi dan mencuci pakaian secara berasingan bagi mengelakkan pendedahan melalui kulit,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri mengecam tindakan pihak yang jelas mengambil jalan pintas melupuskan sisa bahan terjadual secara haram, dan kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara mandatori dan denda maksimum RM10 juta.

Orang ramai diminta mengikuti maklumat terkini berhubung kejadian pencemaran itu dari sumber maklumat yang sahih dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta menyalurkan sebarang maklumat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di talian 1-800-88-2727 atau Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor Bahru di talian 07-220 0604.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan