AM > BERITA

TCC Pastikan Undang-undang Cukai Negara Dipatuhi Pemilik Perniagaan

11/09/2024 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Sijil Pematuhan Cukai (TCC) yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bertujuan untuk memastikan sesuatu perniagaan, terutamanya pembida perolehan kerajaan mematuhi undang-undang cukai negara dan menjadi pembayar cukai yang bertanggungjawab.

Penolong Pengarah Jabatan Pungutan Hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Nooraini Mat Ali berkata TCC adalah khusus untuk pembayar cukai yang menjalankan perniagaan atau individu pemilik perniagaan dan terpakai kepada koperasi, badan amanah, unit amanah, Perkongsian Liabiliti Terhad, Amanah Pelaburan Harta Tanah, dan Tabung Amanah Harta.

"Individu yang menjalankan perniagaan wajib ada TCC yang merupakan sebahagian dokumen prasyarat semasa pembayar cukai atau pembida mengemukakan permohonan bagi perolehan Kerajaan bermula 2023.

"Kita telah mula memandatorikan mulai Februari 2024 untuk perolehan bekalan dan perkhidmatan. Kami telah memulakan percubaan ini sejak tahun lepas dengan beberapa kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan kami menerima maklum balas memberangsangkan mengenai tahap pelaksanaannya," katanya dalam sesi temu bual bersama Bernama Radio di sini, hari ini.

Nooraini berkata TCC akan dikeluarkan atas nama pemilik perniagaan bagi individu atau perniagaan pemilikan tunggal manakala bagi syarikat, perkongsian liabiliti terhad serta koperasi, sijil tersebut dikeluarkan mengikut kategori pembayar cukai TCC  dan statusnya boleh disemak dan dicetak pada bila-bila masa secara percuma di portal MyTax.

Beliau berkata dua perkara akan disemak sebelum TCC  dikeluarkan iaitu pembayar cukai atau pembida perlu memastikan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dikemukakan setiap tahun mengikut tempoh yang ditetapkan dan perlu memastikan tiada tunggakan cukai serta mematuhi jadual ansuran yang sedang berkuat kuasa.

"Semua pemilik perniagaan atau syarikat yang ingin memohon perolehan kerajaan melalui sistem e-Perolehan perlu ada TCC dan pembayar cukai mesti mematuhi dua kriteria yang ditetapkan.

"Sekiranya ada baki cukai tertunggak, status akan menjadi 'tidak patuh' tetapi sebagai alternatif, kita boleh maklumkan kepada pembayar cukai supaya membuat peraturan pembayaran cukai secara beransur, jika tidak mampu. Bila dah ada surat pembayaran ansuran itu, kita boleh terus tukar status 'tidak patuh' kepada 'patuh' dengan adanya dokumen sokongan," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pembayar cukai atau pembida yang baharu perlu mendapatkan TCC dengan membuat semakan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) melalui aplikasi e-Daftar di Portal MyTax.

“Sekiranya belum mendapatkan TIN, boleh membuat pendaftaran di aplikasi e-Daftar dan kemukakan permohonan TCC berserta lampiran dokumen pendaftaran perniagaan kepada Urus Setia Pelaksanaan TCC LHDNM menerusi e-mel tcc@hasil.gov.my,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sijil tersebut boleh mengemukakan sebarang pertanyaan kepada tcc@hasil.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan