AM > BERITA

Pendidikan Malaysia Berkembang Dengan Penekanan Terhadap Industri 4.0

11/09/2024 09:33 PM

KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Pendidikan Malaysia berkembang dengan penekanan terhadap Industri 4.0 dan Pendidikan 4.0 dan disokong oleh inisiatif kerajaan, kata Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Beliau berkata perkembangan ini penting untuk menetapkan hala tuju masa depan institusi pengajian tiinggi di negara ini dan menyelaraskannya dengan aspirasi negara.

Mohamed Ibrahim berkata tumpuan itu ialah membangunkan kemahiran, mengintegrasikan teknologi dan kerjasama dengan industri untuk mewujudkan sistem bertaraf dunia yang responsif.

"Matlamat kami ialah melahirkan graduan yang mengutamakan teknologi dan manusia, berteknologi tinggi yang dapat memacu pendidikan tinggi ke tahap baharu," katanya ketika menutup Kongres Kejuruteraan, Sains, dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata ESTCON 2024 tertumpu pada tema "Pendudukan Masa Depan melalui Tenaga Lestari, Pendigitalan, dan Komuniti Pintar" yang meneroka peralihan dan transformasi tenaga untuk memupuk kehidupan mampan.

"ESTCON 2024 menangani trend dan cabaran kontemporari merentasi pelbagai disiplin dalam inovasi, kejuruteraan dan teknologi. Kongres ini mengorak langkah yang besar dalam merealisasikan tema 'Pendudukan Masa Depan melalui Tenaga Lestari, Pendigitalan, dan Komuniti Pintar'," katanya.

Mohamed Ibrahim berkata dengan menerima kemajuan terkini dalam teknologi dan kemampanan, ESTCON kekal bukan sahaja relevan, tetapi juga peneraju dalam membentuk masa depan.

Sebanyak 560 kertas kerja dibentangkan oleh peserta dari 25 negara pada ESTCON 2024 yang dihadiri lebih 1,000 delegasi dan peserta termasuk kira-kira 250 perwakilan bukan pembentang.

Beliau berkata usaha UTP dalam mempromosikan tenaga mampan, memacu transformasi digital dan memupuk komuniti pintar menunjukkan pendekatan proaktif universiti berkenaan untuk menangani cabaran dan peluang masa depan.

"Kami bukan hanya bertindak balas kepada trend, kami menetapkannya, sentiasa menolak sempadan yang mungkin, dan berada di hadapan kemajuan global. Pemikiran ini membolehkan kami menjangkakan keperluan masa depan dan mewujudkan penyelesaian berkesan yang memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Mohamed Ibrahim berkata sebagai bukti komitmen UTP untuk memajukan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, beliau memperkenalkan laman web UTP Ignite, hab khusus yang mempamerkan inovasi daripada universiti.

 "Laman web UTP Ignite ialah gerbang kepada penyelidikan dan teknologi perintis yang dibangunkan oleh penyelidik berbakat kami.

"Menerusi platform ini, pelabur, rakan kongsi industri dan rakan kerjasama dapat pandangan mendalam tentang penyelesaian inovatif kami, termasuk video dinamik tiga minit menampilkan 18 daripada teknologi terbaik kami," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan