AM > BERITA

Malaysia Sasarkan Lebih Banyak Penyertaan Dalam Pertandingan Worldskills

12/09/2024 09:11 AM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

LYON (Perancis), 12 Sept (Bernama) -- Malaysia berhasrat untuk meningkatkan bilangan penyertaan pada pertandingan WorldSkills (WSC) edisi akan datang, khususnya melalui bidang kemahiran baharu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata penyertaan dalam bidang baharu di WSC akan membolehkan lebih ramai belia mahir dan berkualiti dari negara ini dilahirkan.

Abdul Rahman yang juga Chef de Mission (CDM) Malaysia bagi WSC 2024, berkata pertandingan berkenaan penting kerana ia berupaya mencungkil bakat belia negara dan memberi ruang pekerjaan baik buat mereka. 

“Saya mintak pegawai (kementerian) menyediakan kertas kerja yang dapat meningkatkan lagi taraf penyertaan kita supaya kita dapat mencapai tahap lebih baik lagi.

"Kita akan menambah penyertaan dan memperbanyakkan aspek yang boleh dibincangkan untuk memastikan bahawa penyertaan Malaysia dalam pertandingan WorldSkills peringkat dunia ini terus meningkat dan bertambah baik,” katanya kepada Bernama ketika meninjau 15 peserta yang bertanding pada WSC 2024 di Eurexpo, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Abdul Rahman berkata antara bidang kemahiran baharu yang boleh disertai termasuk teknologi air, keselamatan siber, pemasaran digital, dan pembangunan perisian.

Senada dengan itu, Rubiah berpendapat bahawa belia Malaysia mempunyai potensi untuk menyerlah dalam bidang kemahiran baharu pada WSC akan datang.

“Kita sebenarnya mempunyai potensi bukan hanya dalam 14 bidang yang ada, tetapi juga dalam kluster lain termasuk teknologi air dan penyelenggaraan helikopter.

“Saya rasa kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memperkenalkan bidang-bidang lain kepada belia,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman dan Rubiah turut berharap agar 15 belia berkemahiran tinggi yang menyertai WSC 2024 dapat mengharumkan nama negara serta mencapai sasaran tiga pingat yang ditetapkan.

WSC 2024 bermula 10 sehingga 15 Sept ini menghimpunkan 1,400 pesaing dari lebih 70 negara dan wilayah, untuk bersaing dalam 62 kategori kemahiran.

Malaysia mengambil bahagian dalam 14 daripada kategori ini, termasuk Integrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan penyertaan Malaysia pada WSC 2024 akan membuka peluang kepada negara untuk meneroka pelbagai teknologi dan amalan terbaik dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan