AM > BERITA

Program MIV Bersama Komuniti Jelajah Selangor, Tingkat Kadar Celik Digital Masyarakat

12/09/2024 01:45 PM

SUBANG, 12 Sept (Bernama) -- Program Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) Bersama Komuniti meneruskan jelajahnya di Selangor bagi melatih sukarelawan yang dapat membantu meningkatkan kadar celik digital dan penggunaan teknologi dengan selamat dalam kalangan masyarakat. 

Pengarah Negeri Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Selangor Mohd Faisal Md Nor berkata program MIV penting untuk Selangor memandangkan negeri berkenaan merekodkan aduan tertinggi tentang kandungan di Internet iaitu 4,022 aduan setakat Ogos lepas.  

"Aduan ini antara lain melibatkan aktiviti scammer (penipuan) di platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram iaitu sebanyak 807 aduan. 

"Data ini menunjukkan pentingnya peranan dan tanggungjawab Sukarelawan MIV di Selangor membantu komuniti celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta menggunakannya dengan lebih selamat," katanya semasa berucap di bengkel anjuran MCMC baru-baru ini.

Bengkel selama dua hari itu melibatkan penyertaan 30 usahawan dengan objektif  mereka dapat membantu memberi advokasi penggunaan ICT selamat kepada masyarakat selain membolehkan mereka memanfaatkan teknologi untuk perkembangan perniagaan. 

Sejak dilaksanakan pada 2015, program MIV telah melatih seramai 11,335 sukarelawan MIV di seluruh negara dengan 567 sukarelawan adalah dari Selangor.

Sementara itu, usahawan Mohd Faizzudin Mohd Sirat, 35, menyifatkan peluang menyertai bengkel itu bukan sahaja menambah pengetahuan beliau dalam bidang ICT bahkan membolehkan beliau mendalami ilmu penggunaan transaksi kewangan dengan lebih selamat. 

"Sekarang, ramai yang sudah beralih kepada transaksi tanpa tunai. Bengkel sebegini membolehkan kita lebih memahami keselamatan dalam talian termasuk perbankan.

"Ini membantu meningkatkan keyakinan kita terhadap transaksi kewangan secara dalam talian, selain dapat mengajar kita untuk berwaspada dengan taktik yang digunakan sindiket penipuan yang mencari mangsa di platform media sosial," katanya yang menjalankan perniagaan baik pulih barangan elektronik. 

Seorang lagi peserta Norhana Musa, 44, yang mengusahakan taska pula menyifatkan peluang menyertai bengkel untuk menjadi Sukarelawan MIV sangat bermakna dan penganjurannya diperbanyakkan supaya lebih ramai lagi boleh menerima manfaat.

"Kita bukan sahaja dapat ilmu baharu yang meningkatkan kadar celik ICT untuk diri sendiri tetapi dalam masa sama dapat membantu memberi nasihat atau panduan kepada orang terdekat supaya tidak mudah terpedaya dengan apa yang dilihat di Internet. 

"Ini juga sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk saling mengingati antara satu sama lain. Insya-Allah saya harap dapat berkongsi ilmu yang diperoleh di bengkel kini termasuk kepada ibu bapa anak-anak asuhan saya," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan