AM > BERITA

Persidangan Presiden Dunia Diadakan Di KL Sempena Hubungan 50 Tahun Malaysia–China

12/09/2024 03:14 PM

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

SHANGHAI, 12 Sept (Bernama) -- Persidangan Persatuan Presiden Dunia kali kelima akan diadakan di Malaysia pada 2 dan 3 Disember ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. 

Beliau berkata keputusan itu dicapai semasa kunjungan hormat delegasi China yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Liu Jiang kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berada di republik itu untuk lawatan kerja lima hari yang berakhir hari ini.

Wee berkata  pertemuan itu turut bertujuan membentangkan laporan persiapan Persidangan Presiden Dunia Kelima kepada Timbalan Perdana Menteri oleh pihak penganjur.

“Empat edisi pertama persidangan ini telah diadakan di Hangzhou, Wilayah Zhejiang, China. Bagi Persidangan Presiden Dunia Kelima tahun ini, buat julung kalinya akan diadakan di luar negara. 

“Bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia, jawatankuasa penganjur telah memutuskan untuk mengadakan persidangan ini di Wisma MCA, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan kerja Ahmad Zahid ke republik itu hari ini.  

Wee berkata acara berkenaan dianjurkan bersama oleh MCA dan Persatuan Persahabatan Malaysia–China.

Jawatankuasa penganjur katanya, turut memutuskan untuk mengadakan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia–China dan Majlis Makan Malam Jaringan Presiden Dunia pada 2 Disember.

Beliau berkata tema persidangan tahun ini, Promoting Trade Liberalisation and Advancing Economic Globalisation akan merangkumi pelbagai acara termasuk forum meja bulat dan sesi jalinan rangkaian.

“Ratusan presiden persatuan perniagaan, usahawan, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan eksekutif kanan daripada syarikat pelaburan di seluruh dunia dijangka berkumpul di Kuala Lumpur untuk menghadiri persidangan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan