Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PBT, Swasta Diseru Contohi Kerajaan Persekutuan Turun Kadar Sewa Premis Perniagaan - DPPM

05/05/2026 09:39 PM

IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Langkah menurunkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi Kerajaan Persekutuan mulai bulan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kos operasi peniaga yang turut terkesan akibat krisis bekalan global.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak Amirudin Tajudin berkata sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengikuti langkah Kerajaan Persekutuan.

"Kalau boleh syarikat swasta juga mengambil langkah yang sama kerana rantaian daripada itu, akhirnya akan dapat memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Amirudin berkata langkah menurunkan kadar sewa seperti yang dilakukan Kerajaan Persekutuan dapat membantu peniaga mengurangkan harga jualan kepada pengguna selain mengelakkan kenaikan harga.

"Dengan langkah ini sedikit sebanyak membantu usahawan untuk meneruskan perniagaan walaupun dalam margin keuntungan yang kecil," katanya

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi Kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.

Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri berkata langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyambut baik langkah kerajaan untuk mempergiat pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dengan peningkatan kepada 30,000 program tahun ini melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diadakan secara mingguan dengan jadual tetap. 

Beliau berkata langkah memperluas program itu ke kawasan desa dan kampung terpilih, turut melibatkan penyertaan peniaga kecil, sekali gus memberi ruang dan peluang kepada peniaga tempatan yang kebanyakannya hanya memiliki kedai runcit.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk memperbanyak PJRM di seluruh negara dengan menambah kekerapan pelaksanaan program itu kepada setiap minggu dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan