AM > BERITA

KPKT Lancar GPP KiTa, Seragamkan Pembangunan Kilang Tanaman Di Seluruh Negara

12/09/2024 04:08 PM

SERDANG, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (GPP KiTa) bagi menyeragamkan serta memudah cara proses permohonan dan kelulusan pembangunan kilang tanaman di seluruh negara. 

Menterinya Nga Kor Ming berkata pengenalan garis panduan berkenaan diharapkan dapat menggalakkan pertanian bandar dan memantapkan keterjaminan makanan negara terutamanya di kawasan bandar.

Beliau berkata langkah sedemikian adalah penting memandangkan Malaysia kini berdepan dengan proses urbanisasi yang pesat, dengan kadar perbandaran meningkat kepada 75.1 peratus iaitu 24.4 juta penduduk pada 2020 berbanding 70.9 peratus iaitu 19.5 juta penduduk pada 2010.

“Pada masa sama, import makanan negara juga semakin meningkat dengan jumlah dicatatkan sebanyak RM78.7 bilion ringgit pada tahun lepas. 

"Oleh itu, keterjaminan makanan dan usaha mengoptimumkan kawasan tanaman makanan adalah satu agenda nasional penting untuk kita lakukan bersama," katanya pada sidang media selepas melancarkan GPP KiTa di sini hari ini. 

Nga berkata garis panduan itu meliputi aspek kawalan pengoperasian, perancangan tapak serta prosedur permohonan dan kelulusan perancangan pembangunan kilang tanaman.

Beliau berkata ia melibatkan tiga kategori cadangan pembangunan kilang tanaman iaitu pemajuan di kawasan baharu di bangunan kekal dan separa kekal, pemajuan di kawasan brownfield dan pemajuan di premis sedia ada.

“Salinan garis panduan ini akan diedarkan kepada semua 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Khidmat nasihat untuk mendirikan kilang tanaman akan disediakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) secara percuma," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan