AM > BERITA

Kakanda Sultan Pahang Dahului Senarai 27 Penerima Darjah Kebesaran Pahang

12/09/2024 04:51 PM

KUANTAN, 12 Sept (Bernama) -- Kakanda Sultan Pahang Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dr Meriam Sultan Ahmad Shah mendahului senarai 27 penerima darjah kebesaran sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang berlangsung di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan istiadat itu sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-65 baginda.

Tengku Meriam dikurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) yang membawa gelaran Datuk Sri Setia.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Harjeet Singh.

Turut tersenarai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Indera Baharin Din dan Pengarah Urusan Southern Acids (M) Berhad Dr Low Kok Thye.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera kepada Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom, Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral TUDM Datuk Mohd Shahda Ismail.

Turut menerima darjah kebesaran SIMP ialah Presiden Tunku Abdul Rahman University Of Management and Technology (TAR UMT) Prof  Dr Lee Sze Wei dan Pengarah Urusan Menara Network Sdn Bhd Datuk Ab Razif  Asmuni.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk kepada Peguam Kanan Tetuan Nik Saghir dan Ismail Peguambela dan Peguamcara Tengku Shaiful Aftar Shah Tengku Datuk Mustafa.

Enam lagi penerima ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) Mohd Zaki Mat Amin, Pengerusi Yindi Group China Zhu Yilong, Timbalan Pengerusi Thailand Charoen Pokphand Group (China) Li Wenhai, Asisten Ketua Staf Kejuruteraan TUDM Mejar Jeneral Hishammudin Abdul Rahman, Panglima Bantuan Udara TUDM Mejar Jenaral Masro Kaliwon dan Pengarah Urusan Asian Art Production Sdn Bhd Rozaidi Baharudin.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Datuk Mohd Nor, Ahli Dewan Negeri kawasan Tanjung Lumpur Rosli Abdul Jabar bersama sembilan lagi penerima. 

Turut menerima darjah kebesaran dan gelaran sama ialah Ahli Dewan Negeri kawasan Beserah Andansura Rabu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi, Pengarah SPRM Perak Ahmad Sabri Mohamed, Pegawai Daerah Raub Mohd Khuzaidi Harun, Timbalan Pengarah (Risikan / Operasi) Polis Diraja Malaysia (PDRM) DCP Fadil Marsus.

Turut tersenarai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Leftenan Kolonel Prof  Dr Ahmad Ziad Sulaiman, Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB Mohd Rashid Mohamad, Presiden Stella Maris International School Kuala Lumpur Tang Beng Cheok dan Pengerusi Eksekutif FMT Media Sdn Bhd Nelson Fernandez.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan