AM > BERITA

MOSTI Sasar 1.6 Juta Penyertaan Dalam Malaysia Techlympics 2024

12/09/2024 06:08 PM

BATU PAHAT, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan penyertaan 1.6 juta murid dan pelajar dalam program Malaysia Techlympics 2024 tahun ini.

Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata jumlah itu melibatkan penyertaan pelajar secara fizikal dan juga secara dalam talian.

Beliau berkata penganjuran pertandingan seumpama itu penting untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan murid, pelajar serta belia sekali gus meningkatkan minat golongan muda dalam STI.

“Seperti kita tahu, minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menurun. Oleh itu, kita sediakan format berbeza daripada pembelajaran dalam kelas iaitu secara gaming, pertandingan dan perangkaian.

“Kita jangka kaedah itu akan beri lebih keterujaan kepada generasi muda untuk turut serta dan berkumpul dengan rakan-rakan yang sama minat. Ini penting kerana kita mahu mencapai tahap negara maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Selatan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI Ruziah Shafei dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia Dr Sharmila Mohamed Salleh.

Aminuddin berkata matlamat dan fokus program berkenaan ialah pembudayaan STI kepada kumpulan sasar melalui pendekatan amali dan tidak formal serta berdasarkan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman dengan pendekatan pertandingan bersifat lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi. 

“Antara teknologi yang sedang berkembang pesat ialah kecerdasan buatan (AI) yang banyak diguna pakai dalam bidang perniagaan dan beberapa industri yang berkaitan.

“Melihat kepada kepentingan teknologi ini kepada negara, antara pengisian aktiviti dan pertandingan Malaysia Techlympics turut menekankan aspek teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, pengekodan, pengkomputeran, dron dan banyak lagi sebagai wadah dan pendedahan awal bagi para pelajar dan belia dalam teknologi pesat ini. 

“MOSTI berpandangan bahawa program seumpama ini penting untuk memberi pendedahan kepada para peserta khususnya berhubung teknologi terkini selaras dengan misi untuk melonjakkan Malaysia ke rantaian nilai inovasi global,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan