AM > BERITA

LPPKN Sasar Capai 70 Peratus Perolehan Maklum Balas Dalam Kajian KPKM-6 2024

12/09/2024 06:02 PM

IPOH, 11 Sept (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyasarkan mencapai kira-kira 70 peratus perolehan maklumat dan data berhubung kehidupan berkeluarga rakyat Malaysia menerusi Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LPPKN Hairil Fadzly Md Akhir berkata sasaran berkenaan dijangka dapat diperoleh menjelang akhir tahun ini.

"Apabila sesuatu kajian itu dapat mencapai kadar respons 70 peratus dan ke atas, kajian itu sangat teliti dan dipercayai dan boleh ditentukan kesahihannya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pelaksanaan KPKM-6 2024 di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed serta Pengarah LPPKN negeri Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee.

Semalam, Hairil Fadzly semasa wawancara KPKM-6 2024 menerusi saluran Radio PerakFM di sini berkata pihaknya menyasarkan 37,550 kediaman terpilih di seluruh negara menerusi kajian berkenaan.

Beliau berkata kajian berskala besar dan bersifat nasional yang dilancarkan 11 Julai lepas merupakan kajian yang diadakan setiap 10 tahun secara bersiri dan kali terakhir dilaksanakan pada 2014.

Menurut Hairil Fadzly data berkaitan perkahwinan, perceraian, perancangan keluarga, kesuburan, kehamilan, kesihatan produktif, kesedaran mental dan sokongan sosial yang diterima daripada ahli keluarga turut disoal dalam sesi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan