KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan bernilai RM30,000 kepada 50 keluarga veteran Angkatan Tentera Malaysia, pesara Polis Diraja Malaysia serta kakitangan media.
Bank Muamalat dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan itu tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para wira negara serta sokongan kepada keluarga dalam kalangan asnaf, B40 dan pesakit kronik yang memerlukan bantuan.
“Selain wang tunai, Bank Muamalat turut melaksanakan program ‘Kongsi Rezeki bersama Wira Negara’, iaitu kakitangan bank sendiri menyumbang pek makanan asas kering untuk diagihkan kepada keluarga veteran,” menurut bank itu.
Selain itu, dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan sempena bulan kemerdekaan, Bank Muamalat turut menganjurkan pelbagai aktiviti lain termasuk Perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bersama warga bank.
Bank Muamalat turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang awam sebagai simbol perpaduan, selain menganjurkan peraduan media sosial ‘Follow dan Menang Bangga Malaysia’ dengan hadiah utama sebuah telefon pintar iPhone 16E.
“Melalui inisiatif-inisiatif ini, Bank Muamalat melihat Hari Kebangsaan sebagai medium penting untuk memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai latar belakang, sekali gus memupuk masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera,” menurut bank itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata, “Hari Kebangsaan bukan sekadar sambutan, tetapi peringatan akan pengorbanan generasi terdahulu serta amanah kita untuk membina masa depan Malaysia yang lebih makmur dan bersatu.
“Melalui sumbangan kepada veteran ATM, pesara PDRM dan rakan media, Bank Muamalat ingin menzahirkan penghargaan kepada mereka yang telah banyak berjasa.
“Pada masa yang sama, kami percaya semangat patriotisme dan kebersamaan yang ditonjolkan hari ini menjadi pemangkin kepada usaha Bank Muamalat untuk membawakan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan sama.
Bank Muamalat dalam pada itu turut menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan menyeru masyarakat agar terus mendoakan keselamatan, keamanan dan kemerdekaan Palestin.
Maklumat lanjut mengenai program tanggungjawab sosial korporat Bank Muamalat boleh didapati pada laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau ikuti laman media sosial Bank Muamalat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial