AM > BERITA

JHEAINS Sita Dua Rumah Yang Dijadikan Madrasah Di Kuala Pilah

12/09/2024 09:05 PM

KUALA PILAH, 12 Sept (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menyita dua rumah yang dijadikan madrasah menempatkan 40 kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 hingga 12 tahun di sebuah kampung dekat sini.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata tindakan itu diambil susulan laporan salah laku berhubung perbuatan liwat terhadap penghuni pusat berkenaan dan pemeriksaan dilakukan di premis terbabit pada 6 Sept lepas.

Beliau berkata JHEAINS turut merampas beberapa peralatan pembelajaran bagi membantu siasatan kes manakala kesemua kanak-kanak diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut. 

 “Siasatan mendapati madrasah itu tidak didaftarkan dengan JHEAINS bagi menjalankan aktiviti pembelajaran agama Islam di bawah peruntukan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Zaki berkata madrasah itu pernah memohon untuk berdaftar dengan JHEAINS pada 16 Jun 2023 namun tidak diluluskan kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan. 

Beliau berkata notis peringatan turut diberikan kepada pihak madrasah supaya segera mematuhi syarat pendaftaran sebelum tarikh akhir iaitu pada 30 April lepas.

Memperinci keadaan premis itu, Ahmad Zaki berkata ia mempunyai tiga bilik dan dua bilik air yang menempatkan bilik belajar, ruang solat, tempat makan dan bilik tidur dipercayai untuk kegunaan penghuni.

Beliau juga berkata pemeriksaan mendapati katil tidak disediakan dan hanya terdapat beberapa tilam nipis untuk pelajar tidur dan premis itu tidak sesuai dijadikan madrasah kerana keadaan yang tidak kondusif untuk kanak-kanak.

Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah pula berkata penutupan madrasah itu adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 25c Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996. 

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS di bawah Seksyen 22 enakmen sama.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan