AM > BERITA

Belanjawan 2025 Diharap Beri Tumpuan Tingkatkan Kesejahteraan Sosial

12/09/2024 09:26 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 12 Sept (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini diharap memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan lagi kesejahteraan sosial khususnya dalam aspek pendidikan dan kesihatan.

Pegawai bank, Thomas Bulen, 45, berkata amat penting bagi kerajaan terus meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memperkukuhkan infrastruktur negara serta memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

“Dalam bidang pendidikan, tumpuan utama harus diberikan kepada penambahbaikan kemudahan sekolah dengan harapan agar sebahagian besar peruntukan dapat diarahkan untuk memperbaiki sekolah yang telah lama usang dan mengalami kekurangan.

“Sekolah yang kini berada dalam keadaan tidak memuaskan perlu diberi perhatian segera untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi pelajar dari segi keadaan fizikal sekolah serta standard pendidikan yang setaraf dengan negara membangun dan maju,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata latihan kepada guru juga perlu diperkukuhkan dengan meningkatkan kualiti latihan dan pembangunan profesional bagi memastikan mereka memiliki kemahiran serta pengetahuan terkini yang diperlukan untuk memberikan pendidikan berkualiti tinggi kepada pelajar.

Sementara itu, pensyarah perubatan sebuah kolej swasta, Martha Steward, 43, berkata beliau berharap akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti akan terus ditingkatkan dan disediakan dengan lebih banyak seperti kemudahan kesihatan klinik dan hospital.

“Pastikan setiap kawasan tidak kira di bandar, luar bandar dan pedalaman mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lengkap serta berkualiti agar setiap individu yang memerlukan rawatan dapat menerima perkhidmatan terbaik.

“Selain itu masalah kekurangan pakar perubatan dan petugas kesihatan harus ditangani dengan lebih berkesan selain memastikan pelan latihan dan penempatan mereka dapat memenuhi keperluan di semua kawasan,” katanya.

Pereka dalaman, Anette Anne Marie Johnson, 38, pula berharap bantuan kewangan diberikan kepada golongan yang betul-betul layak seperti mereka yang kurang berkemampuan, warga emas dan orang kurang upaya.

“Ini bertujuan memastikan mereka yang memerlukan sokongan kewangan menerima bantuan yang mencukupi untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Selain daripada bantuan kewangan, program keselamatan sosial juga perlu diperkasakan untuk memberikan sokongan yang lebih menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan