AM > BERITA

KBS Kaji Insentif Sesuai Bagi Tarik Belia Sertai Program Rakan Muda

12/09/2024 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji insentif sesuai bagi menarik minat golongan belia untuk menyertai 10 program di bawah Program Rakan Muda. 

Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata setakat ini, empat rakan strategik Rakan Muda iaitu Grab, Foodpanda, Shopee dan Lazada memberikan insentif seperti diskaun dan baucar istimewa kepada peserta program itu.

“Jadi, kita sedang kumpulkan data daripada rakan strategik, apa ganjaran yang boleh diberikan yang lebih popular dan belia mahu gunakan,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MBPN) Sidang II, Penggal 34, Sesi 2023 -2024 di sini, hari ini. 

Program Rakan Muda meliputi 10 program iaitu Rakan Demokrasi, Rakan Litar, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Dalam masa sama, katanya pihaknya tidak merancang untuk melaksanakan program Rakan Muda secara mandatori bagi golongan belia dan mahu mengekalkannya sebagai aktiviti sukarela. 

“Hannah berkata program Rakan Muda berjaya merekodkan 1,161,148 penyertaan menerusi 654 program setakat Jun lepas. 

Beliau berkata bagi inisiatif Rakan Digital iaitu platform teknologi digital, media sosial dan saluran digital  berjaya mencatatkan lebih lima juta tontonan. 

Sementara itu, Hannah yang mempengerusikan MBPN berkata isu pendidikan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif dalam ekosistem belia, penambahan prasekolah dan pendidikan prasekolah percuma serta  penubuhan Akta Kesejahteraan Generasi Masa Depan adalah tiga usul pembangunan belia yang dibahas perwakilan pada MBPN hari ini. 

Beliau berkata kesemua usul itu akan diteliti dan dibentangkan semula pada persidangan November depan. 

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr K.Nagulendran dan Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan