AM > BERITA

Kestabilan, Misi Jelas Pacu Sektor Pertanian Johor

12/09/2024 10:58 PM

 KLUANG, 12 Sept (Bernama) -- Kerajaan yang stabil serta mempunyai visi, misi dan agenda sektor pertanian yang jelas telah membantu meletakkan Johor sebagai penyumbang utama sektor berkenaan di Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kejayaan itu juga dibantu beberapa faktor penting termasuk jalinan kerjasama erat bersama kerajaan Persekutuan dan sokongan utuh daripada peladang, penternak dan nelayan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata prestasi ekonomi Johor mengalami pertumbuhan memberangsangkan pada 2023 dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencatatkan kadar peningkatan 4.1 peratus atau bersamaan RM148.2 bilion.

“Daripada jumlah itu, sektor pertanian merupakan penyumbang ketiga tertinggi KDNK Johor dengan 11.6 peratus atau RM17.2 bilion sekali gus mengangkat negeri ini sebagai penyumbang terbesar kepada sektor pertanian di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sesi Libat Urus Bersama Warga Peladang, Penternak dan Nelayan Daerah Kluang di Pertubuhan Peladang Kawasan Kluang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip.

Arthur berkata subsektor tanaman merupakan penyumbang terbesar dalam sektor pertanian di negeri ini iaitu sebanyak 67.88 peratus diikuti ternakan (25.36 peratus) dan perikanan (6.59 peratus).

Dalam pada itu, beliau berkata Johor turut melakar nama sebagai pengeluar nanas terbesar negara selain mempunyai Taman Kekal Pengeluaran Makanan Ternakan terluas yang dapat memacu projek penternakan ruminan.

 “Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan sentiasa menyokong usaha Johor dalam memperkasakan agenda agromakanan negara dan penganjuran program pada hari ini adalah hasil manifestasi komitmen tersebut,” katanya.

Beliau berkata bagi tahun ini, KPKM telah memperuntukkan sejumlah RM70.12 juta kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan yang meliputi sektor ternakan, tanaman dan akuakultur sebagai contoh Projek Pembangunan Infrastruktur Pertanian Moden di Kluang.

Arthur berkata daripada jumlah itu juga, sebanyak RM19.2 juta diperuntukan kepada kerajaan Johor di bawah Program Kerjasama KPKM dengan Kerajaaan Negeri Bagi Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Ke Arah Keterjaminan Makanan Negara.

“Program kerjasama yang julung kali ini merupakan inisiatif  ‘Quick Win’ KPKM bersama kerajaan negeri bagi melaksanakan projek berimpak tinggi seperti Projek ‘Johor Future Agropreneur’ (JFA), Program Memperkasa Taman Kekal Pengeluaran Makanan Negeri Johor dan pelbagai lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan